malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BN Kelantan tak tahu ahli politik disyaki rasuah
ADS

BN Kelantan menegaskan tidak tahu menahu mengenai individu yang dilaporkan sebagai ahli politik negeri itu yang disyaki terlibat kes rasuah.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

"Saya tak dengar cerita, tapi itu tanggungjawab SPRM. Kita mahu melihat Malaysia yang bersih, berintegriti tinggi dalam kalangan pemimpin politik, pentadbir, korporat dan semua rakyat Malaysia.

"Sebab itu kita mempunyai misi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berintegriti tinggi tidak kira pemimpin politik, pentadbir, kerajaan pusat, kerajaan negeri atau NGO.

"Kalau mereka melakukan kesalahan perlu diambil tindakan," katanya ketika ditemui media selepas majlis Perjumpaan Bersama NGO Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media hari ini mengenai tindakan SPRM memantau ahli politik di Kelantan yang disyaki terbabit dengan rasuah.

Namun Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Samsuddin Yusof enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai individu terbabit mahupun parti politik yang diwakilinya.

“Kita ada terima laporan orang politik terlibat rasuah. SPRM sedang siasat dan buat pemantauan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tak jejaskan BN

Sementara itu ditanya sekiranya perkara itu didedahkan dan melibatkan pemimpin Umno negeri itu, Mustapa menolak kemungkinan ia akan menjejaskan peluang mereka menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Pertamanya saya tidak tahu siapa terlibat orang politik atau tidak, kita tak tahu.

"Kalau seorang dua di mana-mana (dalam) masyarakat ada yang didapati bersalah atau disyaki bersalah perkara biasa walaupun kita tak mahu ia berlaku. Kadang-kadang ia berlaku dan ia tidak akan menjejaskan kita untuk menawan kembali Kelantan," katanya yang juga anggota Parlimen Jeli.

Tambah Mustapa, BN mempunyai misi lebih besar dan bukan berjuang demi kepentingan peribadi orang tertentu.

"Kita berjuang untuk agama, bangsa dan negara kita. Nak majukan Kelantan dan Malaysia yang lebih hebat," kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Lihat Komen