malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rayuan heret Najib untuk prosiding hina mahkamah ditolak
ADS

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak memberi kebenaran untuk mengheret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke prosiding menghina mahkamah.

Ini susulan tiga panel hakim hari ini menolak rayuan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mahfuz memfailkan permohonan itu susulan tulisan perdana menteri di Facebook enam hari sebelum saman fitnah bekas menteri besar Kedah terhadap setiausaha Najib, Datuk Serii Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad didengar.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata tiada kekhilafan prosedur dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidee Ibrahim yang mengarahkan peguam Mukhriz, Mohd Haniff Khatri Abdulla menyerahkan dokumen kepada peguam Najib sebelum pendengaran ex-parte untuk prosiding menghina mahkamah dibuat.

“Dalam isu kedua, panel hakim mendapati tiada kes prima facie terhadap Najib kerana membuat kenyataan itu di Facebook beliau.

“Hakim Mahkamah Tinggi benar ketika menggunakan pertimbangannya dengan tidak melihat terdapat kes prima facie,” katanya.

Keputusan sebulat suara itu turut dibuat oleh hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Mukhriz memfailkan permohonan ex-parte terhadap Najib pada 13 Julai tahun lalu atas dakwaan membuat satu kenyataan yang mana antara kandungannya merujuk kepadanya (Mukhriz) dan berbentuk kenyataan yang didakwa sebagai menghina dan mencampuri urusan mahkamah.

Lihat Komen