malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Masjid terbuka' sempena Tahun Baru Cina
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 12:00 PM
Dikemaskini: 4:07 AM
ADS

Berbeza daripada biasa perayaan sambutan Tahun Baru Cina di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara di Pulau Pinang diadakan di sebuah premis yang umumnya sangat jarang dikaitkan dengan masyarakat Cina - masjid.

Sempena perayaan yang disambut secara tahunan itu majlis rumah terbuka berkenaan diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor.

Matlamatnya ialah bagi meraikan masyarakat Cina yang tinggal di kawasan sekitar masjid berkenaan.

Menurut pengerusi masjid, Khairul Anuar Musa, penganjuran majlis berkenaan merupakan satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya bagi membuka minda masyarakat bahawa tempat beribadah itu bukan hanya untuk umat Islam sahaja, lapor akhbar Berita Harian.

Selain itu, menurutnya, masyarakat Cina yang berkunjung pada majlis berkenaan rata-rata melahirkan rasa teruja apabila mendapat jemputan menghadiri rumah terbuka di masjid.

Bagi jurulatih kecergasan, Ooi Chooi Beng, 36, masjid juga mempunyai tempat istimewa pada dirinya.

Bermula dengan keunikan bangunan berkenaan, dia terdorong untuk mendekati agama Islam sehingga akhirnya mengucap dua kalimah syahadah lima bulan lalu.

Malah, Ooi juga berkata, inisiatif yang diambil pihak kariah masjid berkenaan perlu dicontohi apabila meraikan orang bukan Islam pada majlis sedemikian.

"Sebelum memeluk Islam saya menganggap masjid hanya untuk orang Muslim sahaja dan tidak berani menghampirinya walaupun saya teringin memasukinya.

"Menyedari fungsi masjid begitu luas, secara tidak sedar saya mula mempelajari Islam dan terus memeluk agama ini bersama keluarga selepas tertarik dengan ajaran yang membawa manusia menuju kebaikan," kata Ooi.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial, pengunjung yang terdiri daripada kalangan masyarakat Cina bukan saja dijamu dengan hidangan enak.

Mereka juga diberi penerangan mengenai masjid dan kedudukannya dalam Islam.

Lihat Komen