malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
156 keluarga di Mersing ditawar penempatan semula
ADS

Keprihatinan kerajaan Barisan Nasional terhadap kesusahan mangsa banjir di beberapa kampung dekat Mersing akhirnya membawa kepada kegembiraan 156 keluarga yang menerima surat tawaran projek perumahan penempatan semula.

Penempatan semula yang bertempat di Taman Dato Ajib, Endau itu melibatkan semua penduduk dari tiga kampung di sekitar iaitu Kampung Tanjung, Kampung Jalan Bulang dan Kampung Sungai Padang baru-baru ini.

Rahim Mustafa, 33, dari Kampung Tanjung berkata bantuan perumahan penempatan semula itu dapat meringankan beban yang ditanggungnya sepanjang menetap di kampung itu, terutama apabila tiba musim hujan.

“Rumah saya berdekatan dengan sungai, jadi setiap kali tiba musim hujan air akan naik ke rumah dan boleh mencecah hingga ke paras pinggang.

"Bukan sahaja barang elektrik dan perabot rosak, malah saya juga khuatir haiwan berbisa seperti ular masuk ke rumah dan membahayakan keselamatan saya dan isteri,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dia yang baharu mendirikan rumahtangga turut melahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban yang terpaksa dilalui mangsa banjir sepertinya.

Sementara itu, Rosmawati Harun, 43, dari Kampung Sungai Padang berkata dia dan ibunya Manis Awang Sulaiman, 72, kini dapat menarik nafas lega apabila terpilih sebagai penerima rumah penempatan semula itu.

“Sudah lama saya dan ibu menanti bantuan seperti ini kerana hampir setiap tahun rumah akan dinaiki air sehinggakan kami menjadi takut apabila tiba musim hujan. Kami tidak sabar untuk berpindah ke rumah impian kami,” kata suri rumah itu.

Rosmawati berkata setiap kali banjir, ibunya yang semakin uzur serta harus dipimpin untuk berjalan memerlukan bantuan orang ramai untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, seorang warga emas Zainuddin Osman, 67, yang tinggal sejak kecil di Kampung Jalan Bulang pula terharu kerana kerajaan negeri yang tidak pernah gagal memberi perhatian dan pertolongan kepada mangsa banjir.

“Terima kasih kerajaan negeri. Saya juga tidak perlu lagi risau jika musim hujan tiba kerana bakal menduduki rumah baharu,” katanya.

Projek perumahan penempatan semula yang bermula sejak dua tahun lepas itu dilaksanakan Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Johor Land (JLand) dengan kos RM27.4 juta dan pemberian subsidi RM20 juta daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek perumahan penempatan semula itu menunjukkan kerajaan negeri memandang serius dan memberi perhatian segera kepada mereka yang sering terjejas banjir dan berhadapan dengan persekitaran perumahan yang kurang teratur.

“Keadaan kawasan penempatan penerima sebelum ini tidak selamat dan tidak sesuai dijadikan kawasan kediaman serta terdedah kepada banjir. Justeru, penyerahan ini akan menjadi sejarah penting dalam kehidupan penerima," katanya selepas menyerahkan surat tawaran projek perumahan penempatan semula kepada mereka.

- Bernama

Lihat Komen