malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno T'ganu yakin menang 4 kerusi termasuk Marang
ADS

Umno Terengganu kini berada di landasan yang betul untuk memenangi semula empat kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keyakinan itu dapat dilihat menerusi sokongan padu pengundi dan jentera pilihan raya di setiap bahagian dan peningkatan tahap keyakinan rakyat terhadap pemerintahan BN dan Umno.

Katanya rakyat kini yakin dengan kerajaan negeri yang melaksanakan pelbagai program untuk manfaat mereka seperti program perumahan mampu milik dengan membina 300 hingga 400 unit di setiap Dewan Undangan Negeri dengan sebahagian besarnya dijangka siap tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, sekarang ini keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan Umno juga semakin meningkat ," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan Umno Bahagian Kuala Nerus dan Dewan Konvensyen di samping melancarkan Gerak Gempur Tawan Parlimen Kuala Nerus, di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua Umno bahagian Datuk Basir Ismail dan naib Ketua Umno bahagian, Apli Yusof.

BN kuasai empat parlimen

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 10,000 pengundi dalam Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Ketika ini BN menguasai empat parlimen iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala empat lagi (Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun) milik pembangkang.

Ahmad Razif turut menarik perhatian para pengundi dan jentera BN agar terus mengekalkan perpaduan dalam parti dan tidak mengharapkan masalah yang menimpa pembangkang ketika ini untuk menang dalam PRU14.

"Kita kena ingat kunci kejayaan adalah yang pertama calon dan kedua jentera. Inilah dua faktor yang akan menentukan kejayaan dalam PRU14 kerana calon BN boleh menang dengan syarat tidak ada musuh dalam selimut.” katanya.

"Kalau dah takdir dan tersurat dia jadi calon, terimalah dan beri sokongan padu kerana kita nak pemimpin yang memimpin adalah pemimpin Umno dan BN.

"Kena berjanji siapa sahaja calon yang membawa bendera BN kita akan sokong," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.

Sementara itu dalam sidang media, Ahmad Razif berkata bangunan lima tingkat dengan kos RM12 juta di atas tapak seluas 0.404 hektar itu dijangka siap tahun depan.

Ia dilengkapi dewan konvensyen yang mampu menampung sehingga 2,500 orang, bilik mesyuarat dan beberapa kemudahan lain seperti hotel dan ruang niaga bagi menjana pendapatan Umno bahagian itu pada masa depan.

 

-Bernama
 

Lihat Komen