malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nazri: Saya kurang ajar sebab Mahathir yang ajar
ADS

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegaskan tindak tanduknya pada hari ini adalah hasil didikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oleh itu kata Nazri, sekiranya beliau hari ini dilihat bersikap kurang ajar, ia juga kerana didikan bekas mentornya itu selama lima tahun beliau menganggotai kabinet Mahathir.

"Mahathir masa dia jadi perdana menteri dan presiden Umno, dia cakap semua baik.

"Dulu Tun (Mahathir) pernah ajar saya apa yang saya perlu buat. Saya jadi menteri umur saya 44 tahun, lima tahun bawah dia.

"Semua dia ajar saya, termasuk kalau hari ini saya kurang ajar, dia ajar saya kurang ajar. Jadi jangan marah saya," katanya pada program Bicara Minda dan Dialog #Perjuangan4All di Kuala Krai, Kelantan, malam tadi.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai perbezaan melalui zaman Dr Mahathir hingga ke zaman Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Nazri berkata, Mahathir yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) sebelum ini mengajarnya untuk bekerja demi bangsa dan rakyat Malaysia.

"Saya sampai sekarang ikut apa yang dia ajar, tetapi sekarang dia buat benda-benda yang tidak betul, saya tak boleh duduk diam.

"Sebab saya masih hidup dan saya masih ingat lagi, saya tak lupa apa yang dia ajar. Sebab itu saya boleh serang dia, sebab dia tahu saya tahu.

"Jadi saya nak bagitahu banyak benda yang Mahathir buat sekarang, kalau kita buat zaman dia jadi perdana menteri dia akan pancung kita," jelasnya.

Sebelum ini, Nazri terkenal dengan cakap lepasnya dan sering dilihat mengeluarkan kenyataan keras terhadap Mahathir.

Akhir bulan lalu, Nazri menggelar bekas perdana menteri itu sebagai 'monyet' susulan kritikannya terhadap logo tahun melawat Malaysia yang memaparkan imej Orang Utan.

“Saya guna (gambar) monyet itu supaya monyet macam dia (Mahathir) buat ulasan macam ini,” kata Nazri.

Untuk rekod kedua-dua tokoh itu pernah diatur bersemuka di pentas debat namun rancangan itu tidak menjadi kenyataan apabila gagal mendapat kebenaran polis atas alasan ketenteraman awam.

Lihat Komen