Satu peruntukan khas bagi kaum India yang berada di bawah kategori B40 membuat pelaburan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) akan dilancarkan pada akhir bulan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata sejumlah RM500 juta akan disediakan bagi tujuan itu.
“Ini saya akan lancar akhir bulan ini bersama-sama Presiden MIC (Datuk Seri S Subramaniam). Kita hadkan 5,000 (unit) saham setiap individu supaya masyarakat India ini dapat pembelaan sewajarnya,” katanya semasa berucap pada program teh tarik santai bersama kira-kira 1,000 masyarakat India di Langkawi, hari ini.
Semasa pembentangan Bajet 2018, 27 Okt tahun lalu, perdana menteri mengumumkan inisiatif baharu bagi membantu masyarakat India menerusi pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan AS1M, yang dihadkan kepada 30,000 unit setiap pelabur yang sudah mula diagihkan pada 29 Jan lepas.
Selain itu, RM500 juta diperuntukkan bagi tempoh lima tahun di bawah skim pinjaman pelaburan khas yang ditawarkan kepada 100,000 isi rumah golongan B40 masyarakat India.
Najib berkata ini hanya sebahagian program yang direncanakan kerajaan dan masih banyak lagi program lain yang sedang dirancang untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat India di negara ini.
- Bernama