malaysiakini logo
story-image
ADS

Cadangan supaya majikan menubuhkan sekretariat bagi memantau kakitangan untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 nanti wajar dilaksanakan khususnya kepada syarikat yang mempunyai ramai kakitangan.

Ini berikutan, penubuhan sekretariat itu menunjukkan sokongan majikan terhadap tanggung jawab pekerja sebagai warganegara untuk keluar mengundi bagi menentukan kerajaan yang akan memimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, agensi atau kementerian yang 'besar' disaran mewujudkan sekretariat itu di tempat masing-masing untuk menggalakkan para pekerja keluar mengundi.

"Bagi sektor awam, ketua di setiap agensi, boleh membantu memastikan kakitangan mereka keluar mengundi lebih awal kerana mengundi sangat penting untuk memilih kepimpinan negara demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya hari pengundian jatuh pada hari bekerja, kerajaan diminta memberikan cuti peristiwa bagi membolehkan penjawat awam keluar mengundi.

Mohd Azih mengulas cadangan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini supaya para majikan menubuhkan sekretariat untuk memantau pekerja keluar mengundi bagi mewujudkan kesedaran untuk mengundi dan meningkatkan jumlah peratusan pengundian.

Mohd Hashim dilaporkan berkata sebelum ini majikan tidak pernah memantau bilangan pekerja yang keluar mengundi dan menerusi sekretariat itu, majikan akan mempunyai senarai nama pekerja yang keluar mengundi.

Katanya berkata, sekretariat berkenaan akan memeriksa bilangan pekerja yang belum mengundi dan akan meminta mereka keluar mengundi jika belum berbuat demikian.

Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan dikehendaki memberi suatu tempoh kepada pekerja untuk keluar mengundi, tetapi menurut Mohd Hashim (gambar) tidak semua majikan yang mematuhi peraturan tersebut.

Pengerusi SPR itu pernah diundang kerajaan Kazakhstan sebagai pemerhati antarabangsa dalam proses pilihan raya Parlimen Kazakhstan pada 2016 yang syarikat-syarikat tempatan di negara itu menubuhkan 'sekretariat pilihan raya' bagi memastikan kesemua pekerja berpeluang mengundi pada pilihan raya.

Mengulas cadangan itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan sudah pasti mempunyai mekanisme tersendiri dalam memastikan para pekerja keluar mengundi.

Untuk tujuan itu, beliau berkata bahagian sumber manusia syarikat berkenaan juga boleh memainkan peranan dengan membuat penggiliran untuk pekerja keluar mengundi khususnya bagi yang mengundi di kawasan yang berhampiran dengan tempat kerja masing-masing.

"Tetapi ini bergantung kepada pekerja sama ada mendaftar sebagai pengundi atau tidak. Majikan perlu semak kerana kita tidak mahu ada pekerja yang menyalahgunakan peluang ini untuk keluar ke tempat lain, bukan untuk tujuan mengundi," katanya.

Bagi yang mengundi di luar kawasan, majikan disaran membenarkan pekerja untuk mengambil cuti tahunan supaya pekerja dapat menjalankan tanggung jawab masing-masing, kata Shamsuddin.


-Bernama
 

Lihat Komen