malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ada menteri nak sanggah Bank Negara?'
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 2:30 PM
Dikemaskini: 6:40 AM
ADS

Adakah mana-mana menteri akan tampil menyangkal kenyataan situasi ekonomi semasa dibuat Bank Negara - tanya seorang bekas pengarang akhbar hari ini.

Menurut Mustapha Kamil Mohd Janor, jika sebelum ini ada menteri yang menyanggah pandangan bos rangkaian kedai Mydin, kenyataan dibuat Bank Negara semalam sebenarnya lebih kurang sama saja.

"Bank Negara tu cakap lebih kurang samalah tu. Nak sangkal tak ni?" katanya secara bersahaja melalui hantaran di Facebook.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times itu mengulas kenyataan dibuat bank pusat terbabit mengenai situasi semasa pasaran rumah di negara ini.

Laporan Bernama semalam menyebut Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai.

Mengikut laporan Bank Negara data menunjukkan rumah di negara ini "tidak mampu dibeli" pada 2016 mengikut standard antarabangsa.

Untuk mengatasinya, bank pusat itu menggariskan lima strategi, termasuk memusatkan inisiatif perumahan mampu milik, menubuhkan pangkalan data perumahan bersepadu dan pendaftaran pemohon untuk merancang dan memperuntukkan rumah mampu milik.

Bank Negara juga mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan, memulihkan lembaran imbangan isi rumah dengan meningkatkan celik kewangan selain meningkatkan pasaran sewaan dengan mengukuhkan rangka kerja perundangan.

"Isu kemampuan untuk membeli rumah sebahagian besarnya disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan," kata Bank Negara.


Baca: Mungkin saya terlalu naif tentang KR1M, kata bos Mydin


Bank Negara menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan.

"Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228," katanya dalam buletin suku tahunan dikeluarkan pada 14 Feb.

Sebelum ini Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Ameer Ali Mydin berkata Malaysia mungkin menyaksikan pertumbuhan dalam negara yang kukuh tetapi pengguna tidak mempunyai wang mencukupi untuk perbelanjaan runcit mereka.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM, Ameer berkata jualan di pasar raya besar terus menyaksikan penguncupan.

"Saya tidak kata, tidak ada pertumbuhan, sudah tentu, perangkaan menunjukkannya. Tetapi di negara, lazimnya, apa yang kita lihat adalah pertumbuhan itu (dijana oleh) perbelanjaan domestik.

"Bagi perbelanjaan domestik, asasnya bagus, tetapi hypermarket dan pasar raya besar (di Malaysia) yang menguasai 50 peratus pasaran runcit (menyaksikan pertumbuhan) negatif.

"Saya rasa orang ramai tidak mempunyai wang," katanya.

Duit habis dibelanja

Kenyataan Amer itu mengundang komen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada 7 Feb lalu.

Kata Abdul Rahman kadar jualan pasar raya besar tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penanda aras untuk keadaan ekonomi negara.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi itu berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh memberi manfaat kepada orang ramai dari segi peningkatan pendapatan dan kuasa beli.

Memetik statistik kerajaan anggota parlimen Kota Belud itu menyatakan sumbangan jualan pasar raya besar kepada jualan runcit hanya sebanyak lapan peratus.

Justeru katanya ia tidak mewakili prestasi ekonomi negara.

Mustapha Kamil yang pernah berkhidmat sebagai pengarang Business Times menyatakan penjelasan dibuat Bank Negara semalam agak "berpusing" kerana menggunakan bahasa tinggi ekonomi.

Namun katanya dalam bahasa seharian apa yang mahu disampaikan Bank Negara ialah:

  • Lebih ramai rakyat tidak mampu membeli rumah yang ditawarkan pemaju sebab tiada wang untuk membayar hargan yang ditetapkan,
  • Peningkatan gaji tak seimbang dengan cepatnya kos sara hidup meninggi.

"Duit mereka habis cuma untuk menyara kehidupan seharian," katanya yang memang lantang menegur situasi semasa ekonomi dengan gaya bahasa bersahaja.

Lihat Komen