malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas ketua NUJ Utusan dapat kebenaran cabar pemecatan
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 1:06 PM
Dikemaskini: 8:01 AM
ADS

Bekas Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd (UMMB) Amran Ahmad hari ini, dibenar mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan berhubung pemecatannya secara salah kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap pengurusan syarikat penerbitan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membenarkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan Amran di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Tan Ch’eng Leong mewakili pemohon (Amran).

Tan ketika ditemui berkata tiada sebarang alasan diberikan oleh mahkamah ketika membenarkan permohonan anak guamnya yang dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) dan mahkamah menetapkan 1 Mac untuk pengurusan kes.

Amran, 41, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 12 Jan lepas dengan menamakan UMMB dan Mahkamah Perusahaan Malaysia sebagai responden berhubung pemecatannya oleh syarikat itu pada 3 Sept 2009.

Amran yang berkhidmat dengan UMMB sebagai wartawan kadet pada 1 Julai 2001, telah mengadu kes pembuangan kerjanya oleh syarikat itu ke Jabatan Perhubungan Manusia dan pada 20 Sept 2009 Menteri Sumber Manusia merujuk kes itu ke Mahkamah Perusahaan yang kemudiannya membuat keputusan pada 20 Okt 2017.

Sebelum diberhentikan, Amran telah diberi surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman dijalankan atas tiga pertuduhan salah laku kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah pengurusan syarikat melalui tiga artikel yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily berhubung isu ‘tiang gol dan kerja pengubahsuaian pejabat cawangan Pulau Pinang’.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu Amran menuntut perintah mahkamah untuk membatalkan keseluruhan keputusan Mahkamah Perusahaan bertarikh 20 Okt 2017 selain memohon pengisytiharan bahawa pemecatannya oleh UMMB dilakukan tanpa sebab dan alasan yang adil.

Pemohon turut menuntut perintah berbangkit iaitu satu award untuk gaji tertunggak dan satu ganti rugi menggantikan pengembalian jawatan dalam jumlah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Amran memfailkan permohonan itu atas alasan Pengerusi Mahkamah Perusahaan Siti Salwa Musa telah terkhilaf di sisi undang-undang ketika memutuskan beliau telah membuat salah laku serius dan pemecatannya dari syarikat penerbitan itu adalah atas sebab atau alasan yang adil.

Amran berkata Mahkamah Perusahaan dalam keputusannya mendapati kenyataannya yang diterbitkan di Malaysiakini dan Harakah Daily pada 2009 adalah palsu dan memfitnah UMMB dan tuduhan berkenaan telah dibuktikan terhadapnya.

- Bernama

Lihat Komen