malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zuma letak jawatan presiden Afrika Selatan
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 10:10 AM
Dikemaskini: 2:33 AM
ADS

GLOBAL Jacob Zuma meletak jawatan sebagai presiden Afrika Selatan pada hari Rabu, walaupun dengan berat hati, sebagai mematuhi arahan parti memerintah Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) untuk mengakhiri sembilan tahun pentadbirannya yang dipenuhi dengan dakwaan skandal.

Dalam ucapan perpisahan selama 30 minit ke seluruh negara, Zuma yang berusia 75 tahun berkata dia tidak bersetuju dengan cara ANC menyingkirkannya selepas pemilihan Cyril Ramaphosa sebagai presiden parti pada bulan Disember, tetapi dia tetap mematuhi arahan itu.

"Saya telah membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai presiden republik ibi berkuatkuasa serta-merta," kata Zuma.

"Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan organisasi saya, saya selalu menjadi ahli ANC yang berdisiplin ANC," katanya.

Parti pemerintah itu mengatakan ia akan mengundi menolak Zuma pada hari Khamis.[Baca berita penuh] - Reuters

Sementara itu, Bernama memetik lapor agensi berita China Xinhua bahawa Zuma akhirnya tunduk kepada tekanan dan meletak jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan pada hari Rabu.

"ANC tidak sepatutnya berpecah-belah kerana saya. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk meletak jawatan," umum Zuma ketika berucap kepada rakyat.

Pemimpin yang dilanda masalah itu berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan keputusan Kongres Nasional Afrika (ANC) untuk memecatnya, beliau akan meletak jawatan sebagai presiden republik tersebut.

Peletakan jawatan Zuma adalah susulan kekacauan yang berlaku selama dua minggu dalam parti pemerintah selepas beliau enggan berundur apabila diminta berbuat demikian oleh pemimpin tertinggi ANC.

Mesyuarat jawatankuasa eksekutif kebangsaan ANC pada Isnin memutuskan untuk memecat Zuma sebagai presiden dan memberi tempoh kepada beliau sehingga Rabu untuk mengundurkan diri daripada jawatan tertinggi itu.

Pada hari Rabu, Zuma berkata beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan tentang kesalahannya dan mendakwa telah menjadi mangsa kepimpinan ANC.

Peletakan jawatan Zuma menyaksikan Timbalan Presiden Cyril Ramaphosa telah dilantik sebagai Pemangku Presiden Afrika Selatan.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan pada Khamis atau Jumaat.

 

Lihat Komen