malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penjawat awam didakwa terima rasuah RM42,000
ADS

Seorang pengarah bahagian Kementerian Kerja Raya Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas dakwaan menerima rasuah RM42,000 pada 2013.

Tertuduh Shaiful Azman Taha, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dia yang berkhidmat di bahagian Pusat Khidmat Kontraktor didakwa menerima suapan daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise Hamdan Mat Hasan antara 3 hingga 4 petang, 21 Dis 2013 di rumahnya di Taman Pelindung Jaya di Kuantan.

Suapan berbentuk wang tunai itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh untuk mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera kepada syarikat tersebut.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditahan pada 8 Feb 2017 selepas SPRM menerima aduan pada 26 Jan 2017 .

Pada prosiding itu, peguam Mohd Fauzi Razali merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM40,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamri atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh menanggung seorang isteri, dua anak dan seorang ibu. Tertuduh telah memberikan kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan. Tertuduh merupakan penjawat awam dan saya percaya mahkamah boleh memberikan jaminan yang rendah," katanya.

Dazuki membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb ini bagi sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Tertuduh menjelaskan jaminan itu.

- Bernama

Lihat Komen