malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ada apa dengan diplomat Israel masuk Malaysia?
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 11:43 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
ADS

Kemasukan diplomat Israel secara rasmi ke negara ini menghantar sekurang-kurangnya dua mesej kepada rakyat Malaysia, menurut PKR.

Pertama, menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, ia melambangkan kemunafikan amat besar Putrajaya, serta kemungkinan Malaysia bakal mengubah dasar serta pendirian terhadap negara Zionis berkenaan.

Dalam kenyataannya hari ini Fahmi berkata kemasukan delegasi Israel itu juga merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara.

"Bukan saja diplomat kanan Israel mendakwa memasuki Malaysia, tetapi (ketua delegasi itu) David Roet mendakwa secara terang-terangan dalam media sosial bahawa beliau datang ke negara kita menggunakan pasport Israel," katanya (gambar).

Semalam Malaysiakini melaporkan sekumpulan diplomat kanan Israel memasuki Malaysia untuk menghadiri sebuah persidangan yang berlangsung selama seminggu.

Kedatangan yang sebelum itu dilaporkan The Times of Israel berlaku ketika Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Ia juga belaku selepas beberapa perhimpunan diadakan untuk mengutuk tindakan bersama Washington dan Tel Aviv menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Siapa beri kebenaran

Antara himpunan itu turut dianjurkan oleh kerajaan dan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa sama di sebalik tiada hubungan rasmi antara Putrajaya dan Tel Aviv, data rasmi diterbitkan Biro Statistik Pusat Israel pada 2014 menunjukkan hubungan dagang kedua-dua negara berkembang walaupun dalam keadaan berhati-hati.


Baca: Sekutu Zionis bertopengkan jubah dan kopiah


Nilai dagangan antara kedua-dua negara dianggarkan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) setahun.

Roet ialah Timbalan Duta Israel ke PBB dan mereka berada di Kuala Lumpur untuk menyertai persidangan Program Petempatan Manusia PBB - atau dikenali sebagai UN-Habitat.

Menurut Fahmi kemasukan secara rasmi diplomat terbabit mencabar maruah negara.

Justeru katanya Wisma Putera perlu memberi penjelasan menyeluruh mengenai isu berkenaan.

Turut perlu memberi pencerahan, kata Fahmi, ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Benarkah delegasi diplomat Israel dibenarkan memasuki Malaysia menggunakan pasport ISrael untuk menyertai program berkenaan?

"Jika benar, siapa yang telah memberikan kebenaran untuk mereka masuk?" katanya.

Lihat Komen