malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco DAP disiasat 12 jam berhubung projek terowong
ADS

Exco Pulau Pinang Lim Hock Seng disiasat selama 12 jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut negeri itu.

Lim hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang pada jam 9 pagi dan hanya dibebaskan kira-kira pukul 9 malam.

Pengerusi jawatankuasa kerjaraya, utiliti dan pengangkutan Pulau Pinang itu ditemani oleh peguam dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer.

"Ia bukan penahanan, mereka menyoal saya sebagai saksi," katanya kepada Malaysiakini tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Lim juga berkata SPRM tidak memberitahunya sama ada akan dipanggil untuk disoal sekali lagi.

Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy (gambar) juga dijadual berjumpa pegawai SPRM esok berhubung projek terowong bernilai RM6.3 bilion.

Setakat ini, SPRM telah menyoal siasat kira-kira 70 orang dan menahan empat termasuk dua individu bergelar "datuk" dan "datuk seri," untuk membantu penyiasatan.

Projek jalan dan terowong yang dianugerahkan melalui tender terbuka kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd pada tahun 2013, telah menerima kritikan yang berterusan daripada pemimpin BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan projek itu sebagai "membazir," walaupun menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman 2011 antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan syarikat China, Beijing Urban Construction Group.

Terdahulu, exco negeri Chow Kon Yeow menyatakan kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatan mereka.

"Kami akan memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat dengan teliti seperti yang mereka mahukan.

"Kami hanya berharap projek jalan dan terowong masih boleh dilaksanakan selepas tekanan politik berskala besar digunakan terhadap pegawai kerajaan negeri, konsortium, perunding dan kontraktor projek ini," katanya.

Lihat Komen