malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Rafizi bantut usaha bongkar salah laku
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 11:38 AM
Dikemaskini: 3:44 AM
ADS

Hukuman penjara yang dikenakan ke atas Rafizi Ramli didakwa menakutkan rakyat yang ingin menyalurkan maklumat penyelewengan dalam negara, kata seorang pemimpin PKR.

Menurut Syed Ibrahim Syed Noh walaupun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas Rafizi serta seorang tertuduh lagi ditangguhkan, ia tetap memberi kesan kepada seseorang yang ingin menyalurkan maklumat berakitan salah laku pihak berkuasa.

Apa yang menimpa Rafizi, kata ketua penerangan PKR itu, menunjukkan berlaku ketidakadilan yang nyata.

"Rafizi tidak mengambil satu sen pun wang rakyat sebaliknya hanya melaksanakan amanah.

"Pada masa sama tiada seorang pun daripada mereka yang terlibat dengan skandal NFC (National Feedlot Corporation Sdn Bhd) dihadapkan ke muka pengadilan.

"Yang didakwa ialah pemberi maklumat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Feb lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 30 bulan ke atas Rafizi serta bekas kerani bank Johari Mohamad kerana membocorkan data perbankan berhubung akaun NFC.

Juta-juta hilang begitu saja

Hakim Zamri Bakar berkata pihak pendakwa telah membuktikan mereka melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.

Pada analisis maksimum, katanya, mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan tidak menimbulkan keraguan dan oleh itu pihak pendakwa telah membuktikan perkara itu melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, Zamri membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin pada RM15,000.

Rafizi, 40, diwakili Ahmad Nizam Hamid manakala Latheefa Koya mewakili Johari.

Anggota parlimen Pandan itu dan Johari didakwa pada 2012 mengikut Seksyen 97 Bafia kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, iaitu suami kepada Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kata Syed Ibrahim malang apabila Rafizi dihukum ketika jutaan rakyat Malaysia menanggung beban akibat kegagalan NFC yang terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Harga daging lembu semakin mahal dan kebelakangan ini banyak keluarga tidak mampu pun untuk menikmati daging lembu.

"Lebih malang, sebahagian besar daripada dana awam bernilai RM250 juta hilang begitu saja," katanya.

Lihat Komen