malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
KWSP jelaskan mengapa dividen syariah lebih rendah?
ADS

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memberitahu, perbezaan kadar dividen simpanan konvesional dan syariah adalah disebabkan akses terhadap perbankan dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berbanding simpanan konvensional, simpanan syariah mempunyai akses yang terhad terhadap bank-bank yang disenaraikan di Bursa Saham.

"Simpanan konvensional mempunyai akses kepada stok perbankan dunia terutamanya terhadap ruang konvensional manakala syariah pula tiada.

"Dan ini merupakan salah satu faktor terhadap keseluruhan pasaran yang menyediakan ruang hanya untuk perbankan konvensional berbanding perbankan syariah.

"Kita ambil contoh di negara ini, kita mempunyai banyak bank yang disenarailan di Bursa Saham seperti CIMB, RHB dan kita cuma ada satu bank yang disenaraikan iaitu Bank Islam dan pada masa akan datang bank yang berpotensi MBSB yang akan ditukar menjadi bank Islam.

"Skop bagi simpanan syariah terhadap industri adalah terhad," katanya pada sesi penerangan di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung perbezaan kadar dividen KWSP antara simpanan konvensional dan syariah.

Pada Sabtu lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi simpanan konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi simpanan syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada KWSP bercadang menambah peruntukan dana untuk simpanan syariah, Shahril berkata perkara itu akan dilakukan berdasarkan permintaan.

Katanya dana sebanyak RM100 bilion bagi 2018 untuk simpanan berkenaan adalah mencukupi.

Beliau berkata, setakat 31 Disember 2017, jumlah caruman dalam simpanan Shariah adalah RM68 bilion membabitkan kira-kira 700,000 pencarum.

“Seperti yang dikatakan, daripada RM68 bilion (simpanan syariah), ada kira-kira RM32 bilion dana yang tersedia untuk dilanggan tahun ini.

“Jika ia bagus, pada masa akan datang (saiz dana syariah) akan dinaikkan lagi,” katanya.

Ditanya sama ada KWSP mempunyai sebarang sasaran bagi simpanan syariah untuk tahun ini, Shahril memberitahu pihaknya tidak membuat paksaan agar orang ramai membuat penyimpanan syariah.

“Kita tak ada sasaran. Kita tak paksa. Sesiapa yang nak membuat simpanan syariah mereka boleh buat,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KWSP pada Sabtu, setakat 31 Disember 2017 jumlah simpanan ahli adalah sebanyak RM768.51 bilion yang mana RM67.76 bilion adalah di bawah simpanan syariah dan RM700.75 bilion di bawah simpanan konvensional.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen