malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perjuangan belum selesai, Rafizi
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 4:30 AM
ADS

Satu demi satu suara sokongan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kedengaran selepas dia didapati bersalah membocorkan data perbankan.

Langkah diambil Rafizi itu - bersama seorang yang lain - dibuat bagi mendedahkan kedudukan akaun syarikat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang membabitkan Datuk Seri Mohd Salleh Ismail iaitu suami Ketua Wanit Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zamri Bakar pada 7 Feb lalu mendapati pendakwa membuktikan Rafizi dan seorang kerani bank, Johari Mohamad melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan.

Hari ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tampil memberi kata-kata semangat buat Rafizi.

Dalam mesej ringkas melalui video itu Dr Mahathir menyatakan sesuatu perjuangan kadang-kadang memakan masa.

Ia juga katanya terbuka kepada kemungkinan berjaya atau kalau, namun perjuangan berkenaan mestilah diteruskan.

"Rafizi, kuatkan semangat.

"Jangan berasa kecewa. Kita berjuang mungkin mengambil masa, mungkin menang, mungkin kalah, tetapi perjuangan mestilah kita teruskan untuk bangsa dan negara," kata Dr Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sebelum ini dikenali dengan ungkapan ikoniknya, "perjuangan yang belum selesai".

Cerita separuh benar

Untuk rekod ungkapan itu juga menjadi tajuk sajak yang dibacakan Dr Mahathir pada 1996.

Shahrizat ialah anggota parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal sebelum tumpas di tangan Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum ke-12.

Nurul Izzah memperoleh 21,728 manakala ketua wanita Umno itu hanya mendapat 18,833 undi. Mereka dipisahkan oleh majoriti 2,895 undi.

Hakim membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas Rafizi dan Johari ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan mereka di mahkamah tinggi.

Mengulas mengenai penghakiman itu Shahrizat berkata Rafizi bukan "mangsa" sebenar dalam kontroversi NFC berkenaan.

Sebaliknya kata beliau mangsa sebenar ialah pihak yang menerima akibat daripada tindakan anggota parlimen Pandan terbabit.

 

Memetik kenyataan Shahrizat Utusan Online melaporkan Rafizi adalah punca kegagalan projek NFC dan kini perlu berhadapan tindakan undang-undang atas perbuatannya.

Katanya lagi, Rafizi menyalahgunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selain mengabaikan hak undang-undang orang lain - termasuk dirinya - apabila menjadikan kontroversi itu sebagai senjata politik.

“Daripada menggunakan proses undang-undang, Rafizi juga menggunakan cerita separuh benar untuk memanipulasi masyarakat umum berhubung kes berkenaan,” katanya yang mempunyai latar belakang sebagai peguam.

Lihat Komen