malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mukhriz dakwa SPRM tak umum tahan 'pendedak'
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 11:51 AM
Dikemaskini: 4:02 AM
ADS

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan individu yang dipercayai menyogok kepimpinan parti itu di peringkat negeri.

Mukhriz mendakwa berdasarkan maklumat diperoleh, antara arahan 'pendedak' itu adalah anggota BERSATU membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun katanya sehingga kini kes itu tidak diumumkan SPRM.

“SPRM telah menahan seorang ‘pendedak’ yang tentunya mewakili Umno atau Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk sogok pemimpin dan ahli kami, antaranya untuk buat aduan kepada ROS termasuk (mengadakan) sidang media. Individu itu sedang disiasat, butirannya kenalah tanya SPRM benarkah ada kes sebegini.

“SPRM tak pernah umum kes ini, mungkin SPRM akan dedahkan jika media tanya. Jika mereka sembunyikan, kami akan dedahkan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya turut meragui kesahihan lebih 400 aduan yang dibuat oleh ahli parti itu kepada ROS.

Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim mengesahkan setakat 8 Januari, ROS menerima 428 aduan terhadap BERSATU, melibatkan isu sayap pemudanya, ARMADA, pemecatan Exco dan mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Tak mustahil 400 aduan kepada ROS itu antara strategi diarahkan ‘pendedak’ setelah masing-masing dapat habuan dari pihak tertentu.

Tujuannya mahu memalukan kami (BERSATU) selain berikan gambaran kepada rakyat kononnya kami tak cekap uruskan parti,” kata Mukhriz.

Senarai ahli BERSATU

Menurutnya, aduan berkenaan juga tidak pernah sampai kepada pejabat BERSATU dan hanya diadukan kepada ROS.

"Jika benar wujud masalah, prosedurnya adalah pengadu berikan salinan kepada parti, atau ROS hantar salinan supaya kami dapat selesaikan secara dalaman, jika gagal selesai barulah rujuk Akta Pertubuhan,” katanya.

Mukhriz berkata, situasi itu agak pelik kerana ROS tidak memiliki senarai keahlian parti itu, namun membuat rumusan bahawa ia adalah aduan daripada ahli BERSATU.

“Bagaimana ROS boleh kenal pasti mereka adalah ahli BERSATU, tak mustahil mereka bukan ahli.

"Ada yang jadi ahli dan keluar secara rasmi dengan hantar surat atau buat pengumuman, jadi kami ada senarai ahli yang sah,” katanya.

Lihat Komen