malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: BERSATU masih terbuka untuk berbincang
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor masih terbuka untuk berbincang soal pembahagian kerusi di Selangor.

Beliau berkata telah bercakap dengan Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari semalam, selepas parti itu dilaporkan tidak mengiktiraf persetujuan yang dicapai dalam rundingan pada 7 Februari lalu.

"Saya yakin proses ini akan diselesaikan. Saya sudah bercakap dengan Abdul Rashid semalam dan saya ingin mengatakan BERSATU akan terus berbincang.

"Saya percaya Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor akan meneruskan proses ini dan insyaAllah akan menyelesaikannya tak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas sembahyang Jumaat di Masjid Ukay Perdana, Ampang, hari ini.

Menyifatkan rundingan kerusi setakat ini sebagai "sangat positif", beliau berkata demokrasi sememangnya sebuah "proses yang bising".

"Jika semua duduk diam dan tidak bercakap (pandangan masing-masing), itu diktator.

"Tetapi kalau ada bising sedikit, itu demokrasi dan saya raikan proses ini. Jangan bimbang," katanya yang juga pengerusi HARAPAN Selangor.

Beliau berkata setiap parti komponen perlu berbincang dengan pekerja parti dan akar umbi masing-masing sebelum membangkitkan apa-apa isu dalam mesyuarat rundingan kerusi.

Semalam, BERSATU Selangor berkata mereka mahu bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai BN.

Maka mereka tidak gembira apabila PKR juga menunjukkan minat untuk bertanding di 12 kerusi tersebut.

Takkan tak bagi

Sementara itu, Azmin juga mengulas dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Selangor berhadapan kesukaran untuk mendapat dana daripada kerajaan negeri untuk kawasan mereka.

Azmin berkata hanya kerajaan Selangor yang menjadi sejumlah kecil kerajaan yang memberi peruntukan kepada pembangkang.

"Sebagai anggota parlimen Gombak, saya tak dapat peruntukan. Negeri lain juga tidak (beri peruntukan kepada pembangkang).

"Tetapi di Selangor kita bagi peruntukan kepada (ADUN) BN. Jika begitu, takkanlah saya tak bagi kepada Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan," katanya lagi.

Namun katanya ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan mana-mana pihak yang berhadapan masalah perlu berjumpa dengan pegawai daerah atau dirinya sendiri.

"Tidak perlu untuk mengadap sultan," katanya lagi.

Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri Sabak merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Sallehen Mukhyi berkata tidak menolak kemungkinan untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung soal itu.

Lihat Komen