malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khutbah: Jaga-jaga serangan rancak ateis songsang
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 1:32 PM
Dikemaskini: 5:34 AM
ADS

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan umat Islam mengenai ancaman dan bahayanya ateis atau mulhid kepada negara.

Menurut mimbar, fahaman ateis yang songsang kian rancak memasuki segenap penjuru negara menyerang umat Islam.

Katanya, kepercayaan golongan ini boleh mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan prinsip kehidupan beragama dan memusnahkan kepercayaan kepada tuhan yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini.

“Saban hari ada sahaja ajaran sesat yang cuba mempengaruhi mentaliti masyarakat sama ada kepada golongan yang berpelajaran atau tidak berpelajaran.

“Fahaman mulhid adalah fahaman, ajaran dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar semakin kuat menular dalam kalangan masyarakat bahkan hampir tiba kepada tahap teras.

“Ateisme lahir daripada gejala negatif yang menyimpang dan menyeleweng dari ajaran Islam. Oleh kerana itu, mengapa ada segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan fahaman sesat ini ialah kelemahan pegangan iman kepada Allah SWT.

“Kurang mendapat didikan agama, terlalu mementingkan diri, material dan nafsu, bangga dengan darjat keturunan sehingga sanggup mengasingkan agama dari kehidupan dan berfikiran sempit,” menurut mimbar.

Katanya golongan Ateis mudah mudah mempengaruhi pemikiran umat Islam yang lalai dengan ajaran Islam dengan menggunakan pelbagai cara antaranya media massa dan mengagungkan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Mereka menimbulkan pelbagai keraguan tentang kebaikan syariat Islam, melakukan aktiviti yang melalaikan dan tidak berfaedah serta gemar membudayakan perkara yang bertentangan dengan Islam untuk memuaskan diri sendiri.

Justeru mimbar mengingatkan peranan semua pihak dalam membasmi penularan fahaman ini.

Katanya, peranan ibu bapa, institusi pendidikan, pihak berkuasa dan anggota masyarakat amat diperlukan bagi membendung perkara ini.

“Masyarakat yang prihatin dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa dapat mempercepatkan proses mengekang penyebaran fahaman ini.

“Sesungguhnya, tanpa peranan dan kesatuan pihak-pihak tadi, nescaya kita sukar memelihara kesucian agama dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” kata mimbar.

Lihat Komen