malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: PAS yakin ada sesuatu disembunyikan
ADS

WAWANCARA | Antara isu yang menjadi bahan serangan pihak lawan kepada PAS ialah pengakuan parti itu bahawa mereka "berpuas hati" dengan penjelasan diberikan 1MDB.

Kenyataan itu dibuat ketika hampir semua parti pembangkang masih tidak berpuas hati dengan apa saja maklumat yang diberikan oleh syarikat pelaburan milik kerajaan berkenaan.

Tokoh PAS yang membuat perakuan bahawa parti itu berpuas hati - selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy - ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malaysiakini berpeluang bertemu timbalan presiden PAS itu dan bertanyakan soalan sama - benarkah beliau berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda berkenaan?

Menurut Tuan Ibrahim apa yang berlaku ialah PAS berpuas hati dengan penjelasan yang diberi, bukan apa yang berlaku pada 1MDB.

Mendakwa kenyataan itu disalah tafsir beliau berkata PAS konsisten mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat apa yang berlaku ke atas 1MDB.

Katanya apabila dikenal pasti tindakan terhadap sebarang kebocoran, ketirisan dan penyelewengan mesti diambil tindakan.

"Persoalan kedua ialah kawalan kepada aset yang ada pada 1MDB supaya ia diletakkan di bawah kawalan parlimen agar tidak terlepas kepada pihak lain.

"Dalam keadaan terdesak ini, mungkin kerajaan akan jual (aset itu) kepada mana-mana pihak sebab nak dapatkan duit.

"Bagi PAS aset ini perlu dikawal dan kita akui penyelesaian kepada isu 1MDB ini tak boleh selesai dengan hanya kita serah kepada dia (kerajaan)," katanya dalam temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Parlimen kena pantau

Lebih daripada itu Tuan Ibrahim berkata beliau berpendapat ada sesuatu yang cuba disorokkan kerajaan.

Alasannya, isu berkenaan masih tergantung dan maklumat penuh mengenainya tidak didedahkan.

"Ada yang disembunyikan, dan itu yang dipercayai. Dan kalau ini kita biar tergantung, tak diselesaikan, kita yakin kalau kita ambil kerajaan sekali pun, kita akan memikul bebanan sama.

"Jadi bebanan ini terpaksa dipikul pula oleh rakyat," katanya.

Isu 1MDB menjadi satu daripada cabaran terbesar kepada Datuk Seri Najib Razak dan ia dikaitkan secara langsung dengan perdana menteri.

Kemusykilan mengenai aktiviti 1MDB itu jugalah yang membawa kepada penyingkiran pemimpin kanan Umno yang kini menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pada 7 Ogos tahun lalu PAS mengadakan pertemuan dengan Arul Kanda untuk mendapatkan maklumat terus daripadanya mengenai 1MDB.

Ekoran pertemuan tersebut Tuan Ibrahim yang mengetuai delegasi PAS berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan diberikan Arul Kanda.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata PAS berharap isu seumpama itu perlu dipantau parlimen.

"Maknanya, Kementerian Kewangan dan menteri perlu memberi laporan kepada parlimen supaya anggota parlimen dapat mengikuti setiap perkembangan dan tidak timbul masalah baru," katanya.

Kata Tuan Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga "banyak kali" membangkitkan isu 1MDB di parlimen namun persoalannya, apakah jalan keluar bagi kemelut itu.

"Jalan keluarnya ialah menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat," katanya.


Baca: PAS pun ada tegur Najib, 1MDB tapi tertutup


Beliau yang disebut-sebut bakal diberikan kerusi selamat oleh PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang menambah, pertemuan dengan Arul Kanda itu juga disertai sejumlah pakar ekonomi dari universiti tempatan dan tokoh korporat.

Bekas menteri besar Selangor yang kini mesra didamping PAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah salah seorang anggota delegasi berkenaan.

"Mungkin saya bukan pakar ekonomi tetapi kita membawa bersama pakar ekonomi dan mereka mendapat penjelasan, orang yang mengadu (di kalangan pembangkang lain) ini tak dapat penjelasan.

"Jadi apabila kita dapat penjelasan, kita berpuas hati dengan penjelasan, bukan dengan penyelewengan.

"Pada pandangan PAS ada benda yang tidak betul (pada 1MDB) dan ia perlu disiasat, mesti diperbetulkan dan tubuh suruhanjaya diraja, kawal aset, hadapkan mereka ke muka pengadilan," katanya.

Menurut beliau pendirian sama dibuat PAS dalam isu Felda.

Katanya PAS tidak sekadar berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan sebaliknya meneliti penjelasan tersebut.

Selepas mendengar, katanya, PAS mengemukakan bantahan terhadap apa yang berlaku.

"Cadangan saya mudah saja, semua pihak harus bertemu bukan sekadar menghentam dan kita bina persepsi yang (baik).

"Saya takut persepsi salah kerana persepsi yang salah ini bukan setakat di dunia saja tetapi sampai akhirat.

"Jadi, adalah lebih baik kita dapatkan maklumat yang betul sebelum kita menentang," katanya.

Bawa calon luar tradisi PAS

Justeru menurut Tuan Ibrahim wajar untuk kerajaan menyegerakan suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi meneliti skandal 1MDB.

Langkah yang diambil sekarang, katanya, tidak menampakkan tanda ia akan selesai.

"Kerajaan kata isu ini diserahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"SPRM pula kata, serah kepada polis. Polis pula kata (serah kepada) peguam negara. Akhirnya ke mana sebenarnya isu ini?

"Kalau kita tidak bersalah, kenapa kena takut (tubuhkan suruhanjaya siasatan diraja)?" katanya.

Sementara itu mengulas isu calon luar diimport ke Kelantan pada PRU akan datang, Tuan Ibrahim berkata ia bukan sesuatu yang pelik sebaliknya sudah menjadi tradisi parti itu.

Mengambil contoh kerusi parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim berkata ketika ia diwujudkan sekitar 1995 ia ditandingi Mohamad Sabu.

Kerusi berkenaan kemudian diberikan pula kepada bekas ketua pemuda PAS Salahuddin Ayub pada 2004 dan 2008.

Kerusi Bachok dan Kuala Krai pula, katanya, turut diberikan kepada tokoh dari luar Kelantan, iaitu masing-masing Nasharudin Mat Isa dan Dr Mohd Hatta Ramli.

"Sebenarnya tradisi Kelantan menerima satu atau dua calon luar itu biasa, bukan perkara baru. Begitu juga di Terengganu atau pun Kedah," katanya.

Tuan Ibrahim turut menafikan langkah membawa calon luar ke Kelantan ekoran kebimbangan PAS untuk berdepan dengan BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tidak, bagi kita itu (cuma) tradisi. Negeri ini menerima arahan parti, parti melihat ada keperluan maka perlu begitu," tegasnya.

Pada 24 Jan lalu, telah tular senarai nama yang dikatakan calon-calon PAS Kelantan termasuk di kawasan parlimen.

Antaranya Tuan Ibrahim sendiri yang dikatakan bakal bertanding di Kubang Kerian.

Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan pula didakwa bakal meninggalkan Temerloh untuk mencuba nasib di Bachok, manakala Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh bakal ditempatkan di Pasir Puteh.

Bagaimanapun Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan, senarai yang tular itu hanya tekaan rambang pihak-pihak tertentu bagi menghangatkan suasana menjelang PRU.

Lihat Komen