malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSATU Selangor: Lebih 12 boleh, kurang tidak
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 8:51 PM
Dikemaskini: 12:58 PM
ADS

Pertemuan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor semalam menampakkan sedikit perkembangan apabila dikhabarkan ada persetujuan dicapai sesama parti.

Misalnya dikhabarkan empat daripada 25 kerusi yang melibatkan tuntutan bertindih berjaya diselesaikan. Justeru perbincanga kini melibatkan baki 21 kerusi bertindih.

Hari ini salah sebuah parti komponen HARAPAN menegaskan mereka enggan mengiktiraf keputusan yang dicapai dalam pertemuan semalam.

Kata pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mereka enggan berganjak daripada tuntutan mahu 12 kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ditemui media selepas bermesyuarat kira-kira sejam Ketua Penerangan BERSATU Sallehudin Amiruddin mereka enggan mengambil kira ketetapan semalam.

"Keputusan semalam kita tidak ambil kira. Apabila kita bermesyuarat hari ini, kita tak ambil kira apa keputusan semalam.

"Kita overwrite, kita kekal (mahu) 12 kerusi," katanya.

Sebelum ini BERSATU Selangor menyatakan kemahuan mereka bertanding di 12 kerusi yang kini dikuasai BN. Untuk rekod dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pembangkang yang mewakili BN adalah hanya wakil Umno.

Tak mungkin kurang

Semua calon dari parti komponan BN yang lain kalah kepada PKR, DAP, PAS atau Parti Amanah Negara (AMANAH).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dan 12 daripadanya adalah BN dan dua bebas.

Semasa menjawab soalan wartawan Sallehudin berkata BERSATU tidak berpuas hati apabila PKR Selangor juga menyatakan keinginan untuk bertanding di 12 kerusi.

Daripada kenyataan dibuat Sallehuddin BERSATU membayangkan mereka boleh juga mengubah jumlah kerusi yang diingini. Namun ia hanya berlaku jika ada mana-mana parti mahu menyerahkan kerusi tambahan kepada BERSATU.

"Kami dah buat keputusan, kalau ada mana-mana parti nak bagi kerusi kepada kita, OK-lah, tapi kalau kurang drp 12, tidak mungkin," katanya.

Sallehudin juga menyatakan partinya tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat petang tadi selepas menyerahkan kertas cadangan kepada HARAPAN Selangor.

"Kami tak mahu membincangkannya tadi," katanya sambil menambah suasana mesyuarat berlangsung dengan baik.

Setakat hari ini katanya BERSATU belum memperoleh satu pun kerusi daripada kawasan yang DUN yang turut dituntut parti lain dalam HARAPAN.

Sementara itu Setiausaha HARAPAN Selangor Zuraida Kamaruddin, memberikan versi lain kepada media.

Katanya satu daripada kerusi terbabit dalam tuntutan bertindih sudah diselesaikan menjadikan tinggal 20 kerusi yang perlu dirundingkan.

Namun apabila ditanya kerusi mana yang dimaksudkannya itu anggota parlimen Ampang berkenaan tidak dapat menyatakannya.

"Yang itu saya tak ingat, (jumlah) nombor saja penting, 36 kerusi," katanya.

Zuraida juga berkata perbincangan dalaman HARAPAN itu menunjukkan perkembangan yang pantas.

"Kadang-kadang di peringkat nasional pun tak boleh buat sebarang perkembangan (seperti Selangor)," katanya.

Untuk rekod pertemuan hari ini tidak disertai wakil DAP.

Semalam HARAPAN Selangor menyatakan pembahagian kerusi secara status quo dikekalkan dengan DAP mendapat 14 kerusi, PKR 12 dan AMANAH 2.

Mereka juga menyelesaikan isu kerusi yang ditandingi atau dimenangi PAS dan Umno pada PRU ke-13 lalu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen