malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Bermula dengan banjir besar Kelantan pada 2014, atas dasar kemanusiaan dan inisiatif bersama, sekumpulan aktivis dari utara dengan sebuah van bermuatan pelbagai barang yang dikumpul melalui orang-orang terdekat berjaya diserah kepada yang memerlukan.

Perjalanan misi tersebut bagaimanapun tidaklah selicin aktivis dan NGO lain yang lebih tersusun gerak kerja mereka.

Rentetan usaha itu, selain inspirasi daripada sebuah NGO yang bernama SOLS, maka wujudlah Perlis Hope yang diasaskan Amri Che Mat agar perjalanan misi kemanusiaan mereka lebih tersusun.

Perlis Hope didaftarkan pada 17 Oktober 2015 dengan nombor pendaftaran PPM-005-09-17102015.

Slogan membasmi kemiskinan menjadi asas kepada aktivisme mereka.



Atas dasar tersebut pergerakan misi bantuan Perlis Hope sering mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira apa jua jalur politik, kepercayaan, agama, bangsa dan akidah walaupun keseluruhan kakitangan dan sukarelawannya tidak ditawar gaji bulanan.

Menurut Mohammad Faisol Abd Rahman, jurucakap Perlis Hope, sehingga kini, akaun kewangan Perlis Hope belum pernah menerima bantuan daripada luar negara.

Segala bantuan disalurkan oleh sebilangan individu tempatan yang tidak dikenali.

Ada yang datang sendiri di pejabat operasi Perlis Hope yang diberi guna pakai secara percuma oleh Amri di di Padang Behor, Kangar.

Daripada program bubur lambuk yang pernah mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Perlis hinggalah program bina rumah, Perlis Hope dalam tempoh yang singkat berjaya meringankan beban masyarakat terpinggir.

Ia dapat dilihat daripada Kempen Beras yang dilaksanakan mereka dengan sekitar 150 hingga 180 kampit beras sebulan disalurkan.

“Saya rasa ada juga orang yang ambil berat, sebelum ni tak ada,” kata Saripah Othman, 42, dari Tambun Tulang, Arau, yang telah menerima bantuan lebih setahun.

Kehidupan mereka yang daif selama ini dikatakan tidak diambil peduli hinggalah NGO Perlis Hope menawarkan untuk membina sebuah rumah baru buat ibu tunggal ini dan anak-anaknya, namun akhirnya ia dibina oleh Majlis Agama Islam Negeri Perlis.

Seorang lagi penerima sumbangan, Hasliza Mohd Tayib, 41, dari Sungai Baru turut mengakui bebannya sedikit ringan.

“Alhamdulillah, sebagai itu tunggal dulu, depa dok bagi setiap bulan.

“Kadang-kadang dua bulan sekali beras dan keperluan asas, jadi tak kalut (susah) sangat.”



Sementara itu, Faisol berkata, selain beberapa agensi kerajaan, ada juga mahasiswa yang terlibat bekerjasama dengan program kebajikan mereka, seperti Kelab Teater Mahasiswa Universiti Utara Malaysia.

Anak-anak siswa itu, menurutnya lagi, membantu menyiapkan sebuah rumah pasang siap kepada salah seorang penduduk di kawasan Sungai Padang, Dani Lempoh.

Namun selepas kehilangan Amri sebagai pengasasnya, sumbangan diterima makin merosot. Ini dapat dilihat daripada jumlah agihan beras.

Tinggal 43 kampit beras saja

Setakat Julai 2017, mereka hanya dapat mengagihkan 43 kampit beras sahaja sebulan dan hanya memfokuskan kepada keluarga miskin tegar.

Kesan kehilangan Amri juga menyebabkan Perlis Hope hampir lumpuh.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November 2016, atau kira-kira 15 bulan lalu.



Menurut Mohammad Faisol, kesan tuduhan tidak berasas kepada Perlis Hope, antaranya terlibat dalam aktiviti ekstrimisme, sedikit sebanyak menjadikan orang ramai bimbang dan takut untuk menyumbang.

Namun dakwaan tersebut disangkal Mohammad Faisol.

Perlis Hope, katanya, tidak pernah ada kaitan langsung dengan penyebaran mana-mana fahaman, tidak kira apa pun, sama ada Syiah, Sunni atau Wahabi, atau yang boleh dikaitkan dengan ekstrimisme.

Mohammad Faisol turut mengenang kembali dari mana bibit-bibit keresahan dan ketidakpuasan hari terhadap mereka bermula.



Salah satu program mereka dengan Jabatan Kesihatan terpaksa dibatalkan oleh “pihak atasan” dan diganti dengan program lain.

Sementara itu, ketiadaan Amri juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada isterinya Norhayati Ariffin, 43.

Norhayati kini dikatakan tidak dapat lagi membekalkan lampin bayi kepada Perlis Hope untuk diedarkan sepertimana ketika Amri masih ada kerana perlu mempertimbangkan pelbagai hal lain yang lebih utama.

Menurut Mohammad Faisol, Perlis Hope masih bergerak namun terhad.

Walaupun dilanda pelbagai kontroversi, Perlis Hope harus bangkit semula dan terus membantu membantu masyarakat terpinggir, sesuai dengan misi dan visinya.

Membantu orang susah sepatutnya tak ditentang.
 


ARAFAT HAMBALI adalah penulis, petani dan peniaga nasi lemak.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen