malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi mohon henti perbicaraan kes berkaitan artikel Tabung Haji
ADS

Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini untuk menghentikan perbicaraan kesnya atas dakwaan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji di dalam akaun Facebook miliknya.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Mohd Rafizi memaklumkan Majistret Umzarul An-Nur Umar bahawa bantahan itu dikemukakan atas alasan perbicaraan yang masuk hari kedua hari ini tidak sah kerana Umzarul An-Nur tidak menjalankan pemeriksaan terhadap pengaduan oleh pengadu.

Pengadu ialah Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji Datuk Rozaida Omar yang sepatutnya memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.

“Fakta yang ingin kami pertikaikan ialah pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang dikemukakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, hanya boleh dimulakan jika majistret mengambil tahu berlakunya kesalahan ini dan ia hanya boleh dibuat jika terdapatnya pengaduan oleh pengadu.

“Dalam kes ini telah terdapat pengaduan oleh pengadu tetapi apabila majistret menerima pengaduan itu, majistret perlu buat pemeriksaan terhadap pengaduan itu di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah. Di sinilah di mana pemeriksaan itu tidak dilakukan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas membantah permohonan itu dan menyifatkan pihak pembelaan cuba melengah-lengahkan perbicaraan tersebut.

Mohd Abazafree berhujah pemeriksaan tidak perlu dilakukan kerana pihak pendakwa raya telah mengarahkan siasatan dijalankan ke atas pengaduan oleh pengadu.

“Ia berdasarkan kepada pindaan ke atas Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah yang dilakukan pada tahun 1998 dan berdasarkan Seksyen 128 kanun sama, apabila majistret menerima sesuatu aduan tersebut maka beliau bolehlah mengambil tahu terhadap aduan tersebut dan bila majistret telah ambil tahu, maka perbicaraan boleh dimulakan tanpa perlu sebarang pemeriksaan dijalankan ke atas pengaduan oleh pengadu,” katanya.

Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan bantahan tersebut.

Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ di dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada kira-kira 9 pagi, 8 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama

Lihat Komen