malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan penolong pegawai kesihatan Segamat
ADS

Seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran Majlis Perbandaran Segamat (MPS) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini kerana disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM5,000.

Menurut sumber, penahanan dibuat di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat kira-kira 2.30 petang ketika suspek berusia 57 tahun itu memberi keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan.

Suspek disyaki menerima wang rasuah daripada pengurus sebuah syarikat pengurusan program dan acara sebagai balasan menyokong permohonan mereka menganjurkan program di daerah Segamat, tahun ini, katanya.

Pasukan penyiasat SPRM dipercayai telah menyita beberapa dokumen berkaitan program berkenaan, hasil serbuan ke atas pejabat suspek di Jalan Buluh Kasap, Segamat.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias yang dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Segamat, pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman untuk siasatan lanjut. -Bernama

Lihat Komen