malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dr M tak patut tuduh ROS lengahkan pendaftaran HARAPAN'
ADS

Sebanyak 47 daripada keseluruhan 249 aduan diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah berkaitan pelanggaran perlembagaan parti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya menuduh ROS sengaja melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran gabungan pembangkang di bawah nama Pakatan Harapan apabila parti itu tidak mengikut perlembagaan yang ditentukan sendiri oleh mereka.

"RoS menjalankan tugas secara profesional dan mereka tiada sebarang kepentingan di dalam mana-mana organisasi politik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai pemimpin yang pernah mengetuai kerajaan, Dr Mahathir seharusnya mengetahui Akta Pertubuhan 1996 menetapkan tugas ROS adalah untuk menjaga kepentingan anggota mana-mana persatuan atau badan politik mengikut perlembagaan organisasi mereka.

"Kejahilan itu berlaku di pihak mereka sendiri termasuk menghantar perwakilan yang tidak dipilih oleh peringkat bahagian ke mesyuarat agung tahunan dan perwakilan bahagian pun tidak dipilih di peringkat cawangan," kata.

Mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas yang mematuhi semua syarat diarahkan RoS, Ahmad Zahid berkata surat kepada CEC DAP telah dikeluarkan semalam.

"Surat ini adalah bagi mengesahkan perjalanan DAP sebagai sebuah parti politik kerana mereka telah mengikuti semua arahan yang telah dikeluarkan oleh RoS berdasarkan perlembagaan parti berkenaan," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan masalah dalaman PPBM dan DAP adalah antara punca pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan.

-Bernama

Lihat Komen