malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Kerajaan hari ini menafikan dakwaan seorang wakil DAP bahawa mereka yang ditahan polis dalam pergaduhan di Kampung Medan, Petaling Jaya Mac lalu kebanyakannya kaum India.

"Tuduhan itu tidak benar," kata Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, P Veerasingam, menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) petang tadi.

Veerasingam berkata, 206 Melayu, 109 India dan 12 orang warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam pergaduhan itu ditangkap.

Dalam ucapan penangguhannya, Teresa menggesa kerajaan menjalankan siasatan penuh dan mengadakan perbicaraan terbuka berhubung tragedi tersebut.

Wakil DAP itu melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap kelewatan kerajaan membayar wang pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka.

ADS

Tiga minggu lalu, kerajaan membayar RM10,000 kepada keluarga atau waris mereka yang terkorban dan RM2,000 hingga RM3,000 pampasan kepada mangsa yang cedera.

"Dalam tempoh mereka menunggu, beberapa mangsa rusuhan dan ahli keluarga mereka yang menyuarakan ketidakpuasan mereka di media pula diugut oleh pegawai Yayasan Strategik Sosial (pertubuhan yang dikaitkan dengan MIC)," katanya.

Veerasingam menyifatkan dakwaan Teresa ini "melulu."

"Mereka telah melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan sempurna," tambahnya dan berkata bantuan kepada mangsa tragedi harus dihargai dan bukannya dituduh secara tidak adil.

Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM260,000 bagi membantu mangsa. Selain itu, bantuan RM10 juta diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di sekitar Kampung Medan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.