malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Syabas Khalid kerana penyatu k'jaan kleptokrat'
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 5:34 PM
Dikemaskini: 10:03 AM
ADS

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar secara sinis mengucapkan syabas dan tahniah kepada bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kerana 'diterima oleh PAS dan Umno'.

Mahfuz mendakwa, Khalid dilihat sebagai faktor penyatuan kedua-dua parti itu memandangkan anggota parlimen Bandar Tun Razak itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan ingin mengekalkan kerajaan BN dan pada masa sama berhasrat membantu PAS di Selangor.

"Syabas Tan Sri Khalid Ibrahim kerana diterima PAS dan Umno sebagai faktor penyatuan bagi mengekalkan kerajaan kleptokrat Umno BN di Putrajaya dan ingin merampas Selangor untuk diserah kepada Umno, BN.

"Cara begini (ialah) jalan mengorak langkah Malaysia ke arah sistem politik dua parti," katanya dalam kenyataan hari ini. ​

​Pada Disember tahun lalu, Malaysiakini melaporkan, Khalid menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno dan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

"Saya akan kerja untuk tolong Umno, saya juga beritahu rakan-rakan dalam PAS. Saya beritahu rakan-rakan PAS yang telah menolong saya, saya tolong juga mereka untuk penyatuan ummah," katanya.​

​Pada Ahad lalu, Khalid dilaporkan berikrar untuk membantu PAS pada pilihan raya umum akan datang walaupun tidak menyertai parti Islam itu.

​Susulan itu, PAS Selangor pula menawarkan kerusi kepada ADUN Pelabuhan Klang itu dengan syarat Khalid menyertai parti berkenaan.

'Tumpuan terhadap ahli PAS'

Mahfuz yang juga bekas naib presiden PAS berkata, dengan kenyataan PAS secara terbuka menawarkan kerusi kepada Khalid, ia menunjukan parti itu tidak lagi berselindung mengenai pendirian mereka untuk bersama Umno selepas pilihan raya umum akan datang.

​"​Tawaran PAS sudah tentu dibuat dengan penuh kesedaran setelah Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan kesediaan membantu Umno​ ​BN untuk memenangi P​RU14 akan datang dan merampas Selangor dari Pakatan Harapan ketika menghadiri konvensyen Umno Selangor pada 2 Disember​ 2017 yang lalu.

​"​Syabas kepada pimpinan PAS yang berani menyerlah sikap dan pendirian untuk bersama dengan Umno s​e​rta mudah difahami oleh keseluruhan ahli PAS.

​"​Tumpuan umum sedang terarah terhadap ahli PAS dalam membuat keputusan mereka ketika ​PRU1​4 nanti​ s​ama ada mereka rela dan re​da​ untuk pertahankan kerajaan kl​e​ptokrat Umno​, ​BN dan ​(Perdana Menteri Datuk Seri) ​Najib Razak​," kata Mahfuz.

 

Lihat Komen