malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hospital veteran ATM akan dibina di Perak
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 4:01 PM
Dikemaskini: 8:09 AM
ADS

Kementerian Pertahanan buat julung kalinya akan membina sebuah hospital khusus bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia bernilai RM500 juta di Ipoh bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan lebih baik kepada mereka.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hospital berkenaan akan dibina di kawasan seluas 28,500 hektar milik ATM di Kem Gua Permai, Tambun di Ipoh, yang akan berfungsi sebagai Perkampungan Kesihatan Veteran.

Antara lain, katanya, hospital itu bakal menyediakan kemudahan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti jantung dan respiratori, urologi, neuropsikiatri, perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

"Pembinaan hospital ini akan menggunakan kaedah NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dengan kerjasama pihak swasta yang berkonsepkan Public Private Partnership (Kerjasama Awam Swasta).

"NBOS merupakan kaedah terbaik untuk kita berdepan dengan ekonomi yang tidak menentu. Insya-Allah bila ekonomi kita lebih kukuh, lagi banyak benda yang boleh kita lakukan," katanya.

Hishammuddin memberitahu demikian dalam sidang media selepas melawat tapak cadangan Hospital Veteran ATM dan beramah mesra bersama-sama warga ATM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai,Tambun di Ipoh hari ini.

Turut hadir Panglima ATM Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Hospital Veteran ATM itu merupakan inisiatif utama yang dirancang di bawah Blueprint Kesihatan Kementerian Pertahanan yang dilancarkan baru-baru ini. Ia bertujuan memudahkan veteran ATM di seluruh negara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan, selain perkhidmatan di Hospital Angkatan Tentera dan Hospital Kerajaan.

Ditanya sama ada Hospital Veteran itu hanya dibuka kepada veteran ATM atau warga emas dari kalangan orang awam, Hishammuddin yang juga merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata pihaknya akan melihat kepada keperluan masa hadapan.

"Tetapi yang penting, hospital ini mesti ada ciri-ciri yang boleh mengaitkan hospital ini dengan veteran-veteran kita sama ada kita buka kepada orang ramai atau kepada anggota. Nanti kita fikirkan dari segi komersil tentang ketersediaan dan kelestarian hospital ini," katanya.

Hishammuddin berkata kerajaan akan terus berusaha menambah baik aspek kebajikan veteran ATM dan anggota keluarga mereka dalam agenda kesihatan, perumahan, bantuan sara hidup dan pendidikan kerana ia manifestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa, keringat dan pengorbanan veteran ATM dalam menjaga kedaulatan negara.

Selain penubuhan Hospital Veteran ATM, Hishammuddin berkata pihaknya melalui Blueprint Kesihatan juga akan membina lima lagi Poliklinik ATM di Kluang (Johor), Seberang Takir (Terengganu), Kuantan (Pahang), Sungai Petani (Kedah) dan Kuching (Sarawak).

“Ia bukan sahaja memberikan kemudahan rawatan asas, tetapi akan turut dilengkapi kemudahan rawatan pergigian, wad observasi, hemodialisis serta beberapa perkhidmatan lain,” katanya.

Hishammuddin juga memberitahu kementerian akan menaik taraf lima Hospital Angkatan Tentera di seluruh negara yang melibatkan proses penggantian kelengkapan perubatan termasuklah menaik taraf bangunan dan perkhidmatan.

- Bernama

Lihat Komen