malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Najib minta jemaah haji ditaja 1MDB terus sokong BN
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru jemaah haji yang ditaja 1MDB agar terus menyokong kerajaan BN.

Berucap di Putrajaya, Najib juga memberi isyarat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan sebelum Hari Raya Haji yang dijadualkan Ogos depan.

"(Ini untuk memastikan) kekal dapat tunaikan fardu haji dengan selesa. Segalanya tak berubah selagi kerajaan tak berubah," katanya.

Najib berkata demikian ketika menyerahkan surat tawaran menunaikan haji sumbangan Yayasan 1MDB kepada 1,200 penerima yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Tanpa menyebut nama, Najib juga membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sebelum ini menyatakan mereka yang menunaikan haji menggunakan dana 1MDB tidak akan mendapat haji mabrur.

Beliau memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan bahawa penerimaan ibadah haji seseorang ditentukan oleh Allah.

"Ini kuasa mutlak Allah, manusia tak ada hak," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan Najib dalam ucapannya berkata pelaksanaan program yang memasuki tahun kelapan itu semakin berjaya memandangkan kerajaan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Katanya program yang diilhamkannya pada 2011 itu kini telah menghantar seramai 5,711 golongan agamawan dan pemimpin akar umbi menunaikan haji, yang dibantu menerusi dukungan Yayasan 1MDB serta Lembaga Tabung Haji (TH) selaku badan utama dalam urusan dan pengendalian menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Saya dapat bayangkan perasaan jemaah haji yang telah berjaya kita hantar yang nyata cukup bersyukur kerana pada mereka tanpa program ini, tidak mungkin merasai nikmat mengerjakan haji,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa ramai masyarakat Islam negara ini berpeluang menunaikan ibadah haji hasil hubungan baik tersebut, malah keberangkatan Raja Salman ke Malaysia pada tahun lepas turut membawa kepada tambahan kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk musim haji kali ini.

Najib juga berkata disebalik tohmahan pihak tertentu kononnya isu 1MDB menyebabkan mereka yang ke Tanah Suci melalui tajaan Yayasan 1MDB tidak akan mendapat haji yang mabrur, namun program berkenaan terus mendapat perhatian memberangsangkan daripada masyarakat.

"Jangan kata wang tersebut lesap begitu sahaja… itu hutang dan ia boleh dibayar. Jangan fitnah, kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.

"Seorang mufti menyatakan soal mabrur adalah ketentuan Allah dan manusia tiada hak untuk menentukannya, lebih-lebih lagi oleh individu yang bukan ahlinya," katanya diiringi tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Najib, jika pentadbiran kerajaan tidak berada di landasan mengikut syariat Islam, tidak mungkin Raja Salman memberi pertimbangan dalam soal penambahan kuota hajiserta meletakkan Malaysia sebagai negara pertama yang baginda kunjungi semasa melakukan lawatan rasmi ke rantau ini tahun lepas.

Perdana menteri turut mengajak bakal jemaah untuk berterima kasih kepada TH kerana sedia memberikan kuota haji lembaga itu kepada program tersebut selain mengekalkan kadar bayaran RM9,980 bagi mereka yang akan menunaikan haji musim ini.

"Kita kena ingat, kerajaan melalui TH telah memberi subsidi yang amat besar kepada jemaah kita di mana mereka hanya membayar RM9,980, manakala RM12,470 ditanggung TH, dan ini tidak termasuk pelbagai kemudahan lain yang dinikmati jemaah semasa beribadat di Tanah Suci," katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut melancarkan Alumni Program Khas Haji Perdana Menteri yang kini mempunyai seramai 6,111 ahli sejak program itu dimulakan pada 2011.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen