malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak perlu susah payah jatuhkan PAS Kelantan - Husam
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 11:47 AM
Dikemaskini: 3:55 AM
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak perlu bersusah payah menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan kerana ia akan jatuh dengan sendiri, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa.

Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa wujud kerjasama antara Umno dan AMANAH untuk menjatuhkan kerajaan PAS di negeri itu.

"Saya nak jawab Nik Amar yang kata AMANAH nak jatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

"Saya sudah beratus kali sebut, PAS Kelantan ini kita tidak payah jatuhkan kerana ia akan jatuh dengan sendiri..dengan masalah air yang tak selesai, masalah pembangunan dia nak perlahankan.

"Kalau kerajaan PAS jatuh, itu sudah natural, bila rakyat tolak dan bukan sekali ini kerajaan PAS Kelantan (pernah) jatuh," katanya lapor Sinar Harian ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihanraya Harapan Tanah Merah, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, Pengarah Pilihan raya HARAPAN Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan Pengerusi HARAPAN Tanah Merah, Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Menurutnya, PAS Kelantan juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir urus negeri tetapi pada masa, meminta 'sedekah' dari kerajaan Pusat.

"Kalau kerajaan BN tak beri duit, (kerajaan negeri) nak bayar gaji (kakitangan awam negeri) pun tak cukup, kena minta sedekah dengan kerajaan pusat.

"Jangan kelirukan rakyat, kata kerajaan Kelantan cukup duit kerana defisit belanjawan mengurus pada tahun lepas sahaja RM100 juta yang dibayar kerajaan pusat.

"Bila kerajaan pusat bagi duit, maknanya duit tak cukup. Dari satu sudut, perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana itu tanggungjawab kerajaan pusat tapi dari satu sudut lain, kerajaan negeri kena mengaku duit tak cukup," jelasnya.

Lihat Komen