malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PUM tolak jaminan Indira mahu jaga anak Islam
ADS

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mempersoalkan bagaimana M Indira Gandhi mahu menjaga anaknya yang sudah memeluk Islam dalam keadaan beliau bukan Islam.

Yang Dipertua PUM Datuk Abdul Halim Abd Kadir berkata tiada jaminan yang boleh dibuat Indira dalam memastikan akidah anak itu terus kekal dengan Islam.

“Siapa nak terima jaminan tu, pasal anak tu masih kecil, siapa boleh percaya dia jamin mulut dari segi logik macam mana dia (anak itu) nak laksanakan Islam dalam suasana tidak Islam, nak sembahyang, kebersihan, makan dan minum.

“Kita tahu dia (Indira) sebut pasal Islam sahaja tapi sembahyang, bang (azan) tak tahu tu dalam kepala dia.

“Macam mana nak buktikan (anak terus Islam), rumah tidak Islam macam mana nak jamin Islam, waktu sembahyang, makan dan minum boleh ke nak jamin, (masih) budak pula tu,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Abdul Halim diminta mengulas kenyataan Indira bahawa beliau tidak kisah jika anak perempuan bongsunya Prasana Diksa mahu kekal menjadi orang Islam, walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membatalkan penukaran agamanya.

Menurut Indira, agama itu adalah pilihan individu dan beliau tidak akan campur tangan berkaitan perkara itu sebaliknya hanya mahukan anaknya sahaja.

“Saya hanya mahu anak saya balik. Tolong jangan guna agama untuk pisahkan kami,” kata Indira, seperti dilaporkan sebuah portal, hari ini.

Pada 2009, Muhammad Riduan menukarkan agama anaknya Tevi Darsiny, Prasana dan anak lelaki mereka Karan Dinish (kini sebelas tahun) kepada Islam.

'Kuasa tetap pada bapa'

Beliau kemudian melarikan diri bersama Prasana, yang ketika itu berusia sebelas bulan. Sejak itu, Indira tidak pernah bertemu dengannya.

Manakala itu, Abdul Halim berkata Prasana harus diberikan kepada bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah untuk dijaga, memandangkan dalam Islam hal tersebut menjadi tanggungjawab seorang ayah.

Selain itu Abdul Halim berkata setiap orang Islam bertanggungjawab kepada orang Islam yang lain dalam hal berkaitan agama.

“Berkewajipan kepada orang Islam kawal orang Islam, umumnya begitu. Kalau ikutkan, ikut bapa sebab walau apa pun kuasa, kuasa tetap adalah bapa, itu kuasa mutlak,” katanya.


 

Lihat Komen