malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada lagi pramugari AirAsia ke Aceh
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 3:47 PM
ADS

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia berkata buat sementara waktu penerbangannya dari dan ke Aceh akan dikendalikan kru penerbangan lelaki sahaja, susulan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan peraturan menjadikan pemakaian tudung sebagai wajib bagi pramugari beragama Islam yang masuk ke wilayah itu.

Reuters melaporkan pihak berkuasa Aceh menghantar surat ke syarikat penerbangan nasional negara itu Garuda Indonesia dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia dan Firefly.

Surat itu menyatakan 'kesemua pramugari wajib memakai jilbab (tudung) bersesuaian dengan undang-undang syariah'.

Bagaimanapun, ketua kerajaan tempatan Aceh Besar, Mawardi Ali memberitahu Reuters pramugari bukan Islam tidak wajib memakai tudung. Lapangan terbang Antarabangsa Banda Aceh terletak di dalam daerah Aceh Besar.

Berikutan itu, AirAsia mengeluarkan kenyataan yang mengambil maklum peraturan baru tersebut dan komited untuk memastikan operasi penerbangan syarikat itu mematuhinya.

"Buat masa ini, kesemua penerbangan AirAsia dari dan ke Aceh akan dikendalikan kru penerbangan lelaki sahaja," kata kenyataan itu.

Manakala itu, The Star melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firefly Ignatius Ong berkata kemungkinan syarikat itu akan menjadualkan kru lelaki dan bukan Islam bagi penerbangan ke wilayah itu.

Ong berkata syarikat itu juga sedang mempertimbangkan pakaian luaran bagi menutup seragam pramugari tetapi belum ada lagi keputusan diambil bagi hal tersebut.

Aceh merupakan satu-satunya provinsi Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.

Lihat Komen