malaysiakini logo
story-image
ADS

PAS Kelantan mengakui ada nama-nama pimpinan parti itu dari luar yang dicadangkan sebagai calon di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata cadangan itu hanya melibatkan calon di kerusi parlimen.

"Ada beberapa (nama yang akan dicalonkan) untuk kerusi parlimen," katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, senarai nama yang dikatakan calon-calon PAS Kelantan termasuk di kawasan parlimen, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Antaranya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dikatakan akan bertanding di Parlimen Bachok, manakala Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh bakal ditempatkan di Parlimen Pasir Puteh.

Bagaimanapun Che Abdullah menegaskan, senarai yang tular itu hanya tekaan rambang pihak-pihak tertentu bagi menghangatkan suasana menjelang pilihan raya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu itu berkata, perkara itu belum muktamad dan senarai calon PAS Kelantan masih di peringkat saringan.

"Setakat ini kita menerima cadangan senarai calon daripada setiap peringkat seperti kawasan dan cawangan melalui kajian awal yang kita buat sebelum ini.

"Setiap kerusi DUN dan parlimen setakat kita senaraikan lima calon," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kriteria calon yang akan dipertimbangkan, Che Abdullah berkata mereka mestilah terdiri daripada calon berpotensi menang (winnable candidate).

"Selain itu calon yang paling disukai rakyat juga diutamakan, sebab yang akan mengundi adalah rakyat," ujarnya.

Lihat Komen