malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Indira Gandhi: Akhirnya Islam terlepas dari fitnah
ADS

ULASAN l Tanggal 29 Januari 2018 adalah tarikh yang cukup signifikan buat Indira Gandhi yang sekian lama berjuang mencari keadilan untuk diri dan anak-anaknya.

Keadilan sebagai isteri, ibu dan bahkan seorang rakyat minoriti dalam negara ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan meleraikan kekusutan dalam isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah terhadap apa-apa yang berkaitan dengan agama Islam.

Kekusutan yang telah berlanjutan ini memberi gambaran negatif mengenai pentadbiran agama Islam di Malaysia, seolah-olah badan agama ini dengan sengaja mencampuri urusan agama lain dan tidak bersikap toleransi.

Salah faham ini jika tidak ditangani segera menambahkan ruang pergeseran antara agama dalam negara ini.

Kes Indira Gandhi bermula apabila suaminya memeluk agama Islam dan mengambil secara sepihak menukarkan agama ketiga-tiga anaknya menjadi penganut Islam.

Pendaftar Mualaf Perak telah mengeluarkan sijil penukaran agama kepada tiga anak Indira itu walaupun mereka tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Pendaftar.

Fakta ini jelas dan tidak dipertikaikan.

Suaminya juga dengan sengaja memohon hak penjagaan tiga anak itu dengan Mahkamah Syariah tanpa menyelesaikan urusan perkahwinan di mahkamah sivil.

Tidak cukup dengan itu, suaminya telah mengambil anak bongsu mereka yang ketika itu masih berusia 11 bulan tanpa pengetahuan Indira dan sehingga kini, tiada khabar berita.

Tahu-tahu saja sudah Islam

Perlu diingatkan, perkahwinan antara Indira dan suaminya adalah perkahwinan sivil yang didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Penceraian) 1976.

Sejak awal lagi, mereka bukan Islam dan ketiga-tiga anak mereka beragama Hindu. Titik kekalutan bermula apabila suaminya memeluk Islam dan menukarkan agama kesemua anaknya ke dalam agama Islam tanpa keizinan Indira.

Tahu-tahu sahaja, kesemua mereka diisytiharkan sebagai orang Islam.

Maka Indira dengan tekad mengambil langkah mencabar pengeluaran sijil penukaran agama kerana ia bercanggah dengan Seksyen 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, yang memperuntukkan prosedur berikut untuk dipatuhi sebelum seseorang itu bergelar Islam:

Seksyen 96: Kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam.

1. Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang:

(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara yang semunasabahnya jelas;

(b) pada masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah"; dan

(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

2. Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).

Setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Indira, keenam-enam Responden (Pathmanathan a/l Krishan, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendaftar Mualaf, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia) menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan kemudiannya telah mengakas (overruled) keputusan Mahkamah Tinggi.

Indira Gandhi membuat percubaan terakhir dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan tiga persoalan perundangan yang perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan.

Tiga soalan tersebut adalah seperti berikut:

1. Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif merujuk kepada seksyen 23, 24 dan 25 dan Jadual kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (dibaca bersama dengan Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012) dan/atau bidangkuasa asas (inherent) untuk menyemak tindakan Pendaftar Mualaf atau wakilnya yang bertindak sebagai pihak berkuasa awam dalam menjalankan kuasa statutorinya yang telah dinyatakan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak?

2. Sama ada anak yang lahir daripada perkahwinan yang didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Penceraian) (“perkahwinan sivil”) yang belum mencapai umur 18 tahun mesti mematuhi seksyen 96(1) dan 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak (atau mana-mana peruntukan serupa di setiap undang-undang negeri seluruh negara) sebelum Pendaftar Mualaf atau wakilnya mendaftarkan penukaran agama anak tersebut kepada Islam?

3. Sama ada ibu dan ayah (sekiranya kedua-dua masih hidup) kepada anak yang lahir daripada perkahwinan sivil perlu memberi kebenaran sebelum sijil penukaran kepada agama Islam dikeluarkan terhadap anak tersebut?

Pesanan bekas ketua hakim

Mahkamah Persekutuan dengan tegas menjawab ketiga-tiga soalan dengan afirmatif (ya) dan menjelaskan kedudukan Mahkamah sivil yang mempunyai kuasa kehakiman terhadap mana-mana undang-undang yang digubal termasuk enakmen pentadbiran agama Islam.

Mahkamah sivil sentiasa mempunyai bidang kuasa menyemak tindakan mana-mana pihak berkuasa awam yang dilihat bercanggah (ultra vires) dengan enakmen negeri atau undang-undang Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan turut membezakan kedudukan Mahkamah Syariah yang dengan Mahkamah sivil, dengan menyatakan Mahkamah Syariah diwujudkan oleh perundangan Negeri manakala mahkamah sivil adalah sebahagian daripada rangka kerja perlembagaan.

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa menjalankan semakan kehakiman dan hanya mempunyai bidang kuasa terhadap individu yang beragama Islam.

Lebih menarik, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menyatakan terlebih dahulu bahawa para hakim dalam mengadili kes ini, tidak terpengaruh dengan kepercayaan agama dan sentimen terhadap isu ini.

Beliau juga memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian di Braddel Memorial Lecture, yang cukup perlu dijadikan panduan kepada kita semua:

In multiracial and multi-religious society like yours and mine, while we judges cannot help being Malay or Chinese or Indian; or being Muslim or Buddhist or Hindu or whatever, we strive not to be too identified with any particular race or religion – so that nobody reading our judgment with our name deleted could with confidence identify our race or religion, and so that the various communities, especially minority communities, are assured that we will not allow their rights to be trampled underfoot.”

Kenyataan ini cukup penting kepada mereka yang mempunyai kuasa agar mengambil sikap tidak berpihak kepada mana-mana agama atau bangsa dalam menjalankan tugas. Hal inilah keadilan sebenar seperti yang pernah dinyatakan dalam Surah an-Nisa, ayat 58,

...Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.”

Konsep keadilan ini yang berjaya digambarkan dalam penghakiman Indira Gandhi.

Kalau kita yang kena

Ketidakadilan yang timbul akibat penukaran agama tanpa mematuhi enakmen negeri perlu dibaiki segera demi memulihkan imej agama Islam di Malaysia.

Keputusan ini telah meletakkan hak kepada yang berhak dan membetulkan apa yang terkhilaf.

Umat Islam seharusnya berlapang dada dan menelusuri fakta kes Indira Gandhi ini dengan rasional.

Tidak timbul Islam menang atau kalah, tetapi yang pasti Islam tidak lagi menjadi mangsa fitnah akibat kekhilafan badan agama.

Keputusan mahkamah ini juga selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 256 yang bermaksud, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam”.

Firman ini merupakan panduan kepada umat Islam untuk tidak memaksakan kepercayaan kepada mana-mana individu apatah lagi melalui saluran perundangan.

Islam sentiasa berdiri atas usaha dakwah dan melarang kezaliman ke atas bukan Islam.

Mari kita bayangkan jika situasi Indira Gandhi ini terjadi kepada keluarga Islam. Anak-anak yang lahir dalam agama Islam ini dipaksa untuk menukar agama lain.

Apakah pula sikap kita?

Pastinya, kita akan marah dan sedaya upaya memastikan penukaran agama itu tidak sah dan dibatalkan. Begitu jugalah dengan perasaan Indira Gandhi, si ibu yang mengharapkan anak-anaknya kembali memeluk agama asalnya.

Tidakkah kita gembira apabila melihatkan keadilan untuk mendapatkan hak beragama dikembalikan? Tidakkah kita gembira Islam kini tidak lagi menjadi beban kepada kehidupan mereka selepas ini?

Dan tidakkah kita gembira Islam terlepas daripada fitnah akibat ketidakadilan yang berlaku selama sembilan tahun ini?

Keputusan mahkamah ini sewajarnya diraikan kerana ia selari dengan sabda Nabi yang menyatakan, “Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat” (Riwayat Abu Daud).

Alhamdulilah.


Farhan Haziq Mohamed adalah seorang peguam dan penggerak Malaysia Muda.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen