malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ramai iri hati dengan kejayaan Azmin, kata Ezam
Diterbitkan:  Jan 31, 2018 2:29 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

Datuk Ezam Mohd Nor sekali lagi tampil mempertahankan bekas musuh politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menurutnya menjadi sasaran pihak yang iri hati dengan kejayaannya mentadbir Selangor.

Beliau berkata, itulah yang membelenggu Azmin pada masa ini, dan ia termasuklah daripada pihak yang dilihat sebagai "rakan seperjuangannya" sendiri.

"Penganalisis politik hampir bulat dan sepakat mengenai prestasi cemerlannya sebagai menteri besar. Malangnya prestasi tinggi sering datang dengan rasa cemburu dan iri hati, bukan saja dari lawan tapi juga kawan seperjuangan.

"Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh pemimpin cemerlang seperti beliau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau tidak menjelaskan secara spesifik tentang pihak yang "cemburu dan iri hati" itu.

Tetapi beberapa pihak dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor sebelum ini mendakwa Azmin sebagai punca rundingan kerusi di negeri itu belum dimulakan, kerana beliau cuba berbincang dengan beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS.

Ini merupakan kenyataan kedua Ezam yang membela Azmin. Sebelum ini, dia menggesa rakyat Selangor untuk mempertahankan menteri besar itu yang menurutnya diserang "dengan cara jijik dan tidak beretika".

Ezam menjelaskan, beliau tidak mempunyai kepentingan dalam menyatakan pandangannya ini, selain untuk memastikan negeri kelahirannya terus maju.

Beliau berkata lagi, pencapaian Azmin bukan sahaja dalam mentadbir negeri, malah sudah terlihat ketika beliau menjadi pengarah pilihan raya PKR.

"Azmin pernah menjadi pengarah pilihan raya PKR dan prestasi parti semasa itu juga cemerlang.

"Beliau diminta parti memimpin jentera disaat paling sukar dan beliau berjaya memberi nafas baru kepada parti ketika itu," katanya lagi.

Azmin menjadi pengarah pilihan raya parti ketika PRU pada 2008 dan 2013. Kini beliau dilantik untuk jawatan sama bagi peringkat HARAPAN.

Kalau nak kekalkan Selangor

Ezam berkata hairan mengapa banyak pihak yang kini dilihat menentangnya.

"Hampir semua dikalangan mereka yang riuh hari ini tidak ada pun di saat getir itu. Malah ada yang pada ketika itu dipihak lawan dan amat berkuasa."

Justeru, HARAPAN harus terus memberikan kepercayaan kepada Azmin jika mahu mengekalkan kemenangan di Selangor.

"Azmin sudah cukup masak dengan sepak terajang dan percaturan politik pilihanraya...Jangan diragui keupayaaannya. Melainkan memang ada dikalangan kawan sendiri yang tidak mahu Selangor menang," katanya lagi.

Ezam sebelum ini dilaporkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU akan datang sebagai calon bebas, mewakili NGO Hisbah Malaysia.

Lihat Komen