malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP: Insiden Memali tragik, tapi tak akan pengaruhi PRU
ADS

Tragedi berdarah Memali yang berlaku 33 tahun lampau tidak akan menjadi isu besar dalam pilihan raya umum ke-14, kata anggota parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

Beliau yang juga anggota biro politik PKR berkata, buktinya adalah ketika insiden itu masih panas, iaitu sekitar 1980-an, PAS hanya menang satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya.

Katanya, walaupun pemimpin PAS menjadi mangsa dalam insiden itu, kini ramai yang telah melupakannya dan pada masa sama anak muda tidak sedar akan isu itu.

"Memang Memali adalah kisah tragik tetapi ia tidak akan diterjemanhkan kepada undi," katanya (gambar) pada wawancara di Sungai Petani, Kedah.

"PAS menggunakan isu itu tetapi hakikatnya mereka gagal menyampaikannya secara berkesan kepada anak muda hari ini.

"PAS berjaya menang kerusi dan seterusnya mentadbir di Kedah selepas bekerjasama dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 dan kemudiannya PKR," katanya lagi.

Namun BN berbeza pandangan dalam isu itu, dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berikrar untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasatnya.

Cadangan itu lama selepas keluarga mangsa menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap peristiwa itu, termasuk melalui penubuhan RCI.

Johari berkata, Memali bukan sahaja isu yang sering dipolitikkan, tetapi ia pada asasnya adalah satu jenayah dan melibatkan polis.

"Ia tak semudah Umno membunuh ahli PAS pada masa itu.

"Itulah sebabnya PAS tidak menang di (parlimen) Baling walaupun membangkitkan Memali berulang kali. PAS menang di sana kerana pengaruh Barisan Alternatif pada 1999.

Mahathir lawan PAS

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara pihak yang dipersalahkan dalam peristiwa itu.

Namun Johari berkata, Mahathir telah menjelaskan isu itu dengan baik, termasuk berhubung amaran secukupnya yang diberikan kepada pemimpin PAS Kedah allayarham Ibrahim Libya dan penduduk kampung Memali sebelum polis bertindak.

Peristiwa Memali menjadi antara punca ketegangan antara Mahathir dengan PAS, dengan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga memainkan peranan sebagai punca, menerusi 'Amanat Haji Hadi' yang dibuat beberapa tahun sebelum itu.

Pada PRU ke-14, PAS bersama-sama Gagasan Sejahtera akan berhadapan bekas rakannya, HARAPAN,di Kedah.

Mahathir pula telah dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN dan dikatakan bakal bertanding kerusi Parlimen di Kedah, dengan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengetuai HARAPAN di negeri itu.

Pada masa ini, BN memegang 20 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PKR (4), DAP (2), AMANAH (1) dan PAS (7).

Di peringkat Parlimen pula, BN memiliki 10 kerusi, PKR (4), dan PAS tiada kerusi, selepas anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar keluar daripada parti itu.
 

Lihat Komen