malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz: Undi 'kingmaker' akan rosakkan demokrasi
ADS

Bekas anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar memberi amaran kepada pengundi terutamanya penyokong bekas partinya agar tidak membiarkan parlimen tergantung pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana situasi itu akan "merosakkan proses demokrasi" di negara ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata jika parti itu boleh memenangi 40 kerusi parlimen, parti lain tidak akan dapat membentuk kerajaan dengan bergantung pada kerusi mereka sendiri.

Bagaimanapun, Mahfuz, yang baru-baru ini keluar dari PAS berkata mereka yang percaya parlimen akan tergantung selepas PRU adalah individu yang masih percaya kepada kekuatan PAS.

"Mereka yang mengundi PAS dan membenarkan parti itu menjadi faktor penentu dalam keadaan parlimen tergantung akan dipersalahkan kerana membenarkan ketidakstabilan politik berlaku selepas pilihan raya," kata anggota parlimen Pokok Sena itu ketika ditemui di Alor Setar, Kedah.

"Pengundi ini akan dianggap sebagai perosak demokrasi, mereka akan dipersalahkan kerana menjual undi mereka.

"Mereka tidak boleh memberi undi kepada parti yang dilihat menentang kedua-dua belah BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN), yang mana akan berunding dengan parti yang tidak dapat membentuk kerajaan tetapi kemudian berunding dengan Umno," katanya.

PAS kini mengetuai Gagasan Sejahtera, gabungan kuasa ketiga yang terdiri daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, kedua-duanya tidak pernah memenangi pilihan raya.

'Jadi alat politik'

Mahfuz merujuk kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat kemungkinan parlimen tergantung selepas pilihan raya umum akan datang berdasarkan "tinjauan sepintas lalu" oleh rakan-rakannya.

Parlimen tergantung adalah situasi di mana parti politik tertentu atau gabungan sedia ada tidak mempunyai majoriti mutlak dalam parlimen untuk membentuk kerajaan.

Mahfuz, yang masih belum memutuskan parti mana akan disertainya dalam HARAPAN memberi amaran kepada pengundi agar tidak menjadi "komoditi politik" yang digunakan oleh pihak tertentu.

Lebih-lebih lagi, Mahfuz menjangkakan PAS mungkin akan mengheret situasi itu ke muktamarnya untuk membuat keputusan sekiranya parlimen tergantung.

"Tetapi berapa lama kita perlu tunggu? Mereka akan 'ding-dong', sementara kerajaan tidak dapat dibentuk, ia akan menjadi keadaan yang kacau," kata Mahfuz.

Langkah seperti itu, tambah Mahfuz, adalah sama dengan "mengganggu" proses demokrasi menerusi pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun sekali.

"Kerajaan mesti dibentuk sebaik sahaja keputusan pengundian diumumkan, demi kestabilan politik dan ekonomi.

"Jadi, pengundi mesti membuang undi mereka kepada BN atau HARAPAN, jika mereka beri undi kepada PAS, mereka mungkin tidak dapat membentuk kerajaan, itu akan menjadi perosak sebenar," katanya.

Mahfuz yang menjadi anggota parlimen selama tiga penggal juga memberi amaran keadaan parlimen tergantung boleh dimanfaatkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata keadaan tidak menentu itu akan memberi peluang kepada sesetengah pihak mencetuskan kekacauan, atau menghasut orang lain melakukan perbuatan jenayah seperti pengeboman atau rusuhan.

"Bagi saya, hanya ada HARAPAN atau BN. Mesej saya kepada rakyat adalah PAS tidak sepatutnya diberikan kerusi, pilih sama ada BN atau HARAPAN," kata Mahfuz.

Malaysia Timur jadi penentu

Sementara itu, anggota parlimen Sungai Petani dari PKR Datuk Johari Abdul (gambar) tidak menolak kemungkinan parlimen tergantung tetapi berkata perkara itu akan diselesaikan oleh parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu sering dianggap sebagai "simpanan tetap" kerapa BN dan pembangkang sukar menembusi negeri berkenaan.

Johari menyifatkan kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai "bijak" dan akan menerima sesiapa yang boleh menawarka perjanjian yang lebih baik, terutamanya dari segi autonomi dan pulangan yang lebih baik untuk sumber semula jadi mereka.

"Kenapa bersama BN jika HARAPAN boleh memberikan mereka lebih baik? Ia seperti bermain poker. Mereka telah dibuli terlalu lama, dan sudah tiba masanya untuk mengajar BN," kata Johari.

Johari juga menegaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Rakyat kini iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia - akan mengetuai eksekutif dalam keadaan parlimen tergantung sehingga seorang perdana menteri baru mengangkat sumpah.

Dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong mungkin perlu campur tangan dengan mengarahkan semua pemimpin membentuk gabungan mereka, kata Johari.

"Di sinilah tawar menawar politik akan bermula, kerana setiap parti akan cuba mendapatkan banyak wakil rakyat di pihak mereka," katanya yang tidak menolak wang dan jawatan akan ditawarkan kepada anggota parlimen.

"Mungkin ada keadaan di mana kita mungkin membuat keputusan mengenai Perdana Menteri, yang paling tidak kontroversi, dan siapa yang paling tidak berbahaya (untuk dipilih)," katanya.

Ku Li mungkin pilihan yang ada

Ketika itu Johari berkata Tengku Razaleigh mungkin "pilihan yang baik" sebagai perdana menteri, kerana beliau tidak menyokong Najib dan tidak menyerang HARAPAN.

"Siapa tahu pada masa ini, anggota parlimen boleh melompat kapal di kedua-dua belah parti, dan itulah bagaimana gabungan baru dibentuk," katanya.

Ditanya sama ada PKR bersedia dengan keadaan sedemikian, Johari menjawab, "Sama ada kita suka atau tidak, kita akan berada dalam keadaan ini jika ia berlaku".

"Tetapi jangan risau, pada masa itu, ketua kami (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sudah pun bebas (dari hukuman penjara lima tahun), beliau seorang 'magician', anda harus akui, beliau boleh menyelesaikan apa-apa keadaan,"kata Johari.

Lihat Komen