malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR, BERSATU intai dua kerusi sama di Perak
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak mendesak kepimpinan pusat menyelesaikan tuntutan kerusi bertindih antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang melibatkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kata beberapa sumber.

Kerusi berkenaan adalah Pangkor yang terletak di kawasan Parlimen Lumut dan Tualang Sekah yang terletak di bawah Parlimen Kampar.

"Kedua-dua parti mahu Pangkor kerana mereka mempunyai calon yang baik. PKR sedang memikirkan Anggota Parlimen Lumut (Datuk) Mohamad Imran Abd Hamid," kata sumber kepada Malaysiakini.

Laksamana Pertama (B) TLDM itu akan dicalonkan di tempat lain selepas PKR kehilangan kerusi Lumut kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) semasa rundingan kerusi awal bulan ini dan BERSATU juga merancang untuk meletakkan seorang bekas pegawai tentera di Pangkor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), seramai 12,766 anggota TLDM mengundi di Pangkor, tetapi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menang kerusi itu dengan majoriti 5,124 undi.

Mengenai Tualang Sekah, sumber PKR itu berkata parti itu merancang untuk mencalonkan ketua Pemuda PKR Perak, Mohd Azlan Helmi, yang telah bekerja selama dua tahun sebagai calon.

"BERSATU mendakwa ia mempunyai calon yang baik (untuk Tualang Sekah) juga," tambah sumber itu.

Kerusi Tualang Sekah disandang oleh Exco Pelancongan, Kesenian Kebudayaan Komunikasi Dan Multimedia, Nolee Ashilin Mohammed Radzi, yang memenangi majoriti 2,036 pada PRU13.

"Sekarang, kita akan menyerahkan perkara itu kepada jawatankuasa pemilihan kepimpinan pusat, yang belum membuat keputusan mengenai tuntutan bertindih itu," kata sumber itu.

DAP dapat kerusi paling banyak di Perak

Sementara itu, satu lagi sumber mengesahkan DAP akan mempertahankan kesemua 18 daripada 59 kerusi negeri yang dipertandingkan dan dimenangi pada tahun 2013.

Ini diikuti oleh PKR yang dikatakan diperuntukkan 15 kerusi, pengurangan lima daripada daripada 20 kerusi yang dipertandingkan pada tahun 2013.

BERSATU dan AMANAH masing-masing diperuntukkan 12 kerusi, dengan dua kerusi masih belum selesai.

PKR dijangka bertanding di Simpang Pulai, Teja, Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Hutan Melintang, Kenering, Alor Pongsu, Temengor, Pengkalan Baru, Chenderiang, Batu Kurau, Lintang, Chenderoh, Sungai Manik dan Bukit Chandan.

BERSATU dijangka bertanding di Pengkalan Hulu, Kubu Gajah, Hulu Kinta, Manong, Trong, Belanja, Bota, Kota Tampan, Behrang, Gunung Semanggol, Air Kuning dan Kamunting.

AMANAH pula dijangka bertanding di Selama, Lubok Merbau, Manjoi, Kampong Gajah, Slim, Pasir Panjang, Sungai Rapat, Titi Serong, Changkat Jering, Rungkup, Changkat Jong dan Selinsing.

Malaysiakini tidak dapat memperoleh sebarang pengesahan daripada pimpinan negeri, kerana mereka bersetuju untuk tidak mendedahkan senarai itu kepada media.

Bagi kerusi parlimen, HARAPAN menyelesaikan rundingannya awal bulan ini, dengan DAP menetapkan untuk bertanding di semua tujuh kerusi yang dimenanginya pada 2013.

PKR, yang bertanding 10 kerusi Parlimen pada PRU13, hanya akan mengambil Gopeng, Padang Rengas, Bagan Datuk, Tanjung Malim dan Sungai Siput.

BERSATU dan AMANAH masing-masing akan mengambil lapan dan empat kerusi Parlimen.

Lihat Komen