Semua institut pengajian tinggi awam (Ipta) diminta menjalankan kajian pengesanan kadar pengangguran di kalangan lulusan mereka dan mendapatkan maklumat mengenai kesesuaian bidang pengajian dengan pekerjaan yang dipohon.
"Kementerian ini mengambil peranan memastikan program pengajian yang ditawarkan bersesuaian dengan permintaan guna tenaga negara," kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Datuk Mahadzir Mohd Khir kepada Dewan Rakyat, menjawab soalan Juslie Ajirol (BN-Libaran).
Juslie meminta kementerian menyatakan jumlah lulusan berijazah yang masih menganggur dan langkah mengatasi masalah itu.
Mahadzir memberitahu, setakat kajian tersebut, Universiti Sains Malaysia mendapati 68 peratus graduan mendapat pekerjaan, Universiti Teknologi Malaysia (82.5 peratus), Universiti Teknologi Mara (68.7 peratus) dan Universiti Utara Malaysia (92.1 peratus).
Beliau berkata IPTA lain sedang melaksanakan kajian itu.
Bagaimanapun Dr Maximus Ongkili (PBS-Bandau), dalam soalan tambahan, berhujah kajian pengesanan itu sudah "terlewat."
"Sepatutnya kajian itu dibuat tiga atau empat tahun lalu (sebelum pelajar tamat pengajian). Kursus-kursus teknikal harus dibentuk mengikut keperluan dalam industri," katanya.
Sementara Mohd Hassan Ali (BN-Tebrau) mencadangkan Sistem Kerja Sementara (SKS) diperkenalkan semula bagi membantu graduan-graduan tempatan yang masih menganggur.
Mahadzir berkata kementeriannya akan mempertimbangkan saranan itu.
Beliau juga memberitahu, kajian kementerian mendapati lulusan berijazah gagal mendapatkan pekerjaan kerana terlalu memilih dan kurang maklumat.