malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS sedia 'berpaut pada dahan kukuh'
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 1:29 PM
Dikemaskini: 5:38 AM
ADS

PAS sekali lagi memberi gambaran akan langkah politik mereka selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dengan percaturan meletakkan kira-kira 130 calon di kerusi parlimen - dan yakin memenangi sekurang-kurangnya 40 daripada jumlah itu, PAS turut melihat kemungkinan berlaku kebuntuan apabila tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan.

Justeru kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika berlaku kebuntuan itu - dinamakan sebagai parlimen tergantung - parti terbabit mempunyai cara mencari penyelesaian.

Langkah yang bakal diambil PAS, kata Abdul Hadi, ialah berpaut pada parti yang dirasakan boleh "menerima Islam".

“(Parlimen) tergantung ini satu andaian. Kalau berlaku kita akan bergantung pada parti yang kukuh dan teguh menerima Islam, itu sikap kita.

“Mana-mana parti yang mudah menerima agenda Islam, itulah parti yang kita akan bergantung. Sama ada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN), kita akan tentukan selepas pilihan raya nanti,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.


Baca juga: 'Pokok tak berbuah pun PAS panjat


PAS semakin yakin dengan percaturan mereka menghadapi PRU ke-14 ini dengan mengumumkan bakal bertanding di lebih daripada separuh kerusi parlimen.

Walaupun banyak pihak meragui kemampuan PAS - terutama apabila mereka bergerak bersama beberapa parti kecil di bawah Gagasan Sejahtera - parti terbabit sebaliknya bertambah yakin membentuk kerajaan pusat.

Pada masa sama PAS kelihatan kekal dengan perencanaan menjadi faktor penentu (king maker) jika BN atau HARAPAN masing-masing gagal memperoleh majoriti di Dewan Rakyat.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad pula menganggap impian PAS menguasai parlimen sebagai angan-angan Mat Jenin.

Pada masa sama salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki (gambar) membayangkan pilihan yang ada pada parti itu jika mereka gagal membentuk kerajaan sendiri ialah kekal sebagai pembangkang, atau membentuk kerajaan bersama BN.

Abdul Hadi turut diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai rancangan mereka bertanding di 130 kerusi parlimen seluruh negara.

Kata anggota parlimen Marang itu percaturan berkenaan dibuat kerana PAS bertapak di 195 daripada 222 kerusi parlimen di seluruh negara.

Ahli PAS dekat sejuta

“Siapa pun boleh kata (apa saja), (tapi) kita ada asas dan kawasan. (Kenyataan) Mat Jenin ini jika bergantung pada dahan yang rapuh,” katanya.

Sementara itu dalam Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata PAS tidak berangan-angan ingin menjadi kerajaan sebaliknya itu adalah cita-cita.

Katanya, sebenarnya pihak yang berangan-angan ingin memegang tampuk pemerintahan negara ialah Dr Mahathir.

Tuan Ibrahim turut membidas BERSATU yang tidak mempunyai ahli yang mencukupi bagi menggerakkan jentera mereka dalam mempromosikan parti berkenaan.

Sebaliknya Tuan Ibrahim berkata PAS mempunyai ramai ahli yang akan menggerakkan parti untuk menentang parti-parti lain pada PRU ke-14.

“PAS ada jentera, ahli hampir sejuta, cawangan hampir 8,000 dan kawasan ada 195 seluruh negara.

“Kita boleh bekerja mengubah pendekatan politik matang dan sejahtera yang mengajak agar politik solusi menjadi kaedah PAS kini. Bukan politik serangan mencaci maki yang membosankan rakyat,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Lihat Komen