malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Hati-hati bom lama tiada tarikh tamat'
ADS

Sebanyak tujuh bom lama ditemukan di Terengganu hasil daripada tiga laporan yang diterima dari daerah Kemaman sepanjang 2017 dan kebanyakannya dijumpai di dalam ladang kelapa sawit, kata Komander Unit Pemusnahan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, ASP Amin Sidek.

Amin berkata walaupun Terengganu bukanlah negeri yang merekodkan penemuan bom lama tertinggi di dalam negara tetapi risiko itu tetap ada memandangkan negeri ini sering mengalami musim tengkujuh yang ekstrem.

"Episod hujan lebat yang berterusan dalam tempoh lama, hakisan dan banjir besar boleh membongkar bom-bom lama ini ke permukaan bumi dan ini yang agak merisaukan kita setiap kali musim tengkujuh.

Namun, kita bersyukur kerana tiada sebarang kes kecederaan atau kemusnahan harta benda disebabkan bom lama yang dijumpai di seluruh Terengganu setakat ini," katanya ketika ditemu bual Bernama di Kuala Terengganu.

Beliau berkata tidak mustahil masih ada lagi bom lama 'tersembunyi jauh dalam perut' bumi Terengganu ini namun belum dijumpai.

Jangan sentuh bom lama

“Masih terlalu banyak kawasan yang belum diterokai di Terengganu bagi tujuan pembangunan… kemungkinan bom lama akan ditemui ketika melakukan kerja di tapak pembinaan sangat tinggi seperti mana yang berlaku di negeri-negeri maju seperti Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ini," kata Amin.

Beliau sangat berharap agar orang ramai tidak sesekali menyentuh atau mengalihkan bom lama yang dijumpai kerana ia tiada tarikh tamat tempoh dan letupan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"Pekerja di tapak pembinaan, atau mereka yang berada di lokasi yang baru pulih daripada banjir atau kawasan hakisan misalnya perlu lebih berhati-hati kerana mereka adalah golongan berisiko yang menemui bom lama ini.

Sekiranya terjumpa, jangan panik dan terus hubungi talian kecemasan 999 untuk membolehkan Unit Pemusnah Bom menjalankan tugas mereka dengan pantas dan selamat," katanya.

'Nyawa kita jadi yang terakhir'

Ketika ditanya adakah beliau pernah berdepan dengan situasi cemas ketika dalam usaha mematikan bom, Amin yang sentiasa kelihatan tenang berkata “nyawa kita akan jadi yang terakhir, kepentingan awam sentiasa diutamakan”.

Amin yang mempunyai pengalaman 19 tahun dalam bidang persenjataan dan bom, berharap orang ramai tidak cuba ‘mempermainkan’ anggota polis supaya menjejaki bom yang sengaja direka cerita dengan sewenang-wenangnya.

Ia bukan sahaja membuang masa pihak polis yang sepatutnya mempunyai ruang melakukan tugas lain, malah ia membawa padah pada diri sendiri kerana teknologi kini mampu mengesan mereka yang membuat panggilan palsu dan mendakwa mereka.

“Ada ketikanya kami terpaksa melalui pelbagai liku dan jarak jauh hanya kerana mencari kawasan yang dikatakan dijumpai bom tetapi tiada apa-apa malah alamat yang tidak lengkap ekoran rekaan itu membuatkan kami melilau tanpa arah,” katanya.

Amin, yang turut mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam menghapuskan bom tidak menafikan beberapa kali berdepan dengan panggilan palsu dan lebih menghampakan apabila mengetahui ia dilakukan oleh kanak-kanak.

“Janganlah sewenang-wenangnya membuat panggilan palsu. Ibu bapa perlu beri kesedaran kepada anak-anak tentang bahaya membuat panggilan palsu sebegini, apatah lagi membabitkan tugasan anggota polis,” katanya.

Meskipun berdepan keadaan sebegitu beliau tetap berharap orang ramai tidak melupakan tanggungjawab supaya membuat laporan dengan tepat dan bertekad untuk melindungi orang ramai walau dalam keadaan apa sekalipun.


-Bernama

Lihat Komen