malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: HARAPAN tak perlu umum kabinet bayangan sebelum PRU
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak seharusnya mengumumkan kabinet bayangannya sebelum pilihan raya umum (PRU), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sebaliknya, beliau berkata, gabungan pembangkang itu sepatutnya lebih mengenengahkan calon perdana menterinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"HARAPAN akan mementukan bilakah waktu yang sesuai untuk mengumumkan kabinet bayangan.

"Apa-apa pun, parti yang menang yang akan memutuskan kedudukan yang akan diisi (dalam kabinet)," katanya kepada media di ceramah "100 hari untuk ke Putrajaya" di Gelang Patah, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mempersoalkan sama ada HARAPAN akan membentangkan kabinet bayangannya, selepas mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menterinya pada 7 Januari lalu.

Sementara itu, Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Teo Nie Ching dalam ceramahnya memadam kritikan terhadap isu Mahathir sebagai calon perdana menteri.

"PRU akan datang bukan tentang Mahathir menggantikan Datuk Seri Najib Razak, atau Tun Siti Hasmah Mohamad Ali menggantikan Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kita bercakap tentang menukar kerajaan, dan kita akan mempunyai kabinet baru sepenuhnya. Saya tidak sabar untuk melihatnya kerana selama ini bekerja dengan rakan sepasukan yang berwibawa dan bijaksana," katanya.

"Bayangkan, di samping Mahathir sebagai perdana menteri, kita adan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai menteri dalam negeri, (anggota parlimen Kluang) Liew Chin Tong pula berkata beliau mahu jadi menteri pengangkutan," kata anggota parlimen Kulai itu lagi.

Beliau berkata, pemimpin seperti Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad juga akan dilantik sebagai menteri.

"Tidakkah anda fikir ini adalah Malaysia yang kita boleh harapkan?" katanya lagi.

Mahathir sebelum ini mengakui yang pemilihannya sebagai calon perdana menteri untuk HARAPAN pada PRU akan datang boleh mencetuskan kesan yang negatif.

Antara kesan itu yang boleh dilihat kini adalah kempen #UndiRosak di media sosial, yang menggesa pengundi merosakkan undi mereka jika tidak berpuas hati dengan kedua-dua pihak, iaitu BN dan juga HARAPAN.

Lihat Komen