Kerajaan telah meluluskan pembinaan 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada akhir tahun lepas dan dengan itu tiada keperluan mendesak buat masa ini untuk menambah jumlah itu, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau menjelaskan pembinaan sekolah baharu adalah mengikut keperluan berdasarkan kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.
“Kita (KPM) akan fokus pada pembinaan 10 sekolah ini dulu kerana ia merupakan keperluan mendesak.
"Bagaimanapun, kita (KPM) tidak menolak permintaan daripada mana-mana pihak untuk pembinaan sekolah baharu namun penelitian secara terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita di Kuala Nerang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada 23 Jan lepas berhubung desakan Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kepada kerajaan untuk membina 34 lagi SJKC.
Katanya sekiranya ada keperluan mendesak bagi pembinaan sekolah baharu, Pejabat Penddiikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian dan mencadangkannya kepada kementerian.
Terdahulu, Mahdzir menyampaikan sumbangan keperluan asas berupa makanan kepada 50 kakitangan Jabatan Kesihatan daerah Padang Terap di perkarangan Hospital Kuala Nerang. -Bernama

