malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skandal 1MDB: Bukti kebenaran perjuangan rakyat
ADS

KATA MP l Pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 1MDB merupakan satu kegagalan kerajaan dalam menguruskannya menimbulkan polemik terhadap skandal mega dalam sejarah negara.

Walaupun ramai melihat pengakuannya bersifat politik untuk tujuan pilihan raya, tetapi kenyataan beliau itu memberi dimensi baru bagaimana isu 1MDB menjadi topik yang mesti dibincangkan dalam masyarakat.

Dan rakyat seluruhnya perlu mengetahui kegagalannya agar menjadi teladan di masa hadapan, seterusnya menjadi tanda aras baru bagaimana isu 1MDB perlu dilayan, diurus, disiasat, dan sesiapa yang terlibat terhadap kegagalannya didakwa selepas ini.


Berkaitan: Najib akui memang ada kegagalan dalam 1MDB


Pengakuan Najib itu dibuat setelah isu 1MDB tercampak di tengah dunia selama lebih 3 tahun, setelah beberapa buah negara besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Hong Kong, Switzerland dan Luxembourg melakukan siasatan terperinci dan mengambil beberapa tindakan undang-undang termasuk merampas aset yang dikaitkan dengannya.

Najib akhirnya akur setelah pelbagai usaha penafian, penipuan dan tindakan keras diambil termasuk membuang pemimpin-pemimpin kanan beliau, ‘mengikat’ pegawai-pegawai kerajaan, menukar pemimpin agensi penting kerajaan serta menutup ruang parlimen dari membahaskannya.

Kegagalan 1MDB menyinarkan kebenaran bahawa perjuangan rakyat, aktivis, golongan NGO, pemimpin politik termasuk di kalangan yang bersama dengan beliau adalah benar dan tidak boleh dinafikan lagi.

Maka juak-juak pembodek yang selama ini berpaut dengan Najib dan mempertahankan sehabis upaya isu 1MDB dengan pelbagai penafian dan pembohongan tidak boleh beralasan lagi.

Sepatutnya mereka yang selama ini lantang memperjuangkannya, mengkritik dan mempersoalkan beliau perlu diberi peluang untuk tampil ke depan.

Kritikan rakyat bermaksud Najib dan kerajaan Umno-BN melakukan kesilapan besar, dan rakyat menuntut beliau dan kerajaan mengakui kesilapan kerana membiarkan negara menjadi 'buah mulut' dunia dengan imej yang sangat buruk.

Keberanian rakyat bangkit bersuara menjadikan sesebuah kerajaan akan telus dan negara serta rakyat selamat dari rasuah, penyelewengan serta pemimpin yang zalim yang amalkan salah guna kuasa.

Najib tidak boleh menuding jari dengan menuduh 1MDB dieksploitasi secara politik dan ada “kempen tumpuan” untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.

Kegagalan kerajaan pentadbiran beliau dalam skandal bernilai lebih dari RM 42 bilion itu tidak boleh ‘disapu di bawah karpet dengan menuduh orang lain mengambil kesempatan terhadap ekonomi Malaysia.


Apakah beliau dan Umno-BN mahu menganggap seluruh dunia sedang berpakat menjatuhkannya dengan mensabotaj ekonomi Malaysia.

Sepatutnya beliau dan Umno-BN mengukur serta menginsafi diri bahawa sememangnya beliau bersalah atas kegagalan sebagai PM dan menteri kewangan dalam menguruskan 1MDB.

Bukan hanya sekadar mengakui kegagalannya, perlu dinyatakan juga ke mana duit 1MDB RM42 bilion? Apa jadi duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang diberikan pada SRC anak syarikat 1MDB berjumlah RM4 bilion?

Apakah yang Najib telah lakukan pada wang dari SRC yang dimasukkan ke dalam akaun beliau melalui AmPrivate Banking sebanyak RM42 juta?

Kenapa laporan ketua audit negara berkaitan 1MDB disorok dari pengetahuan rakyat? Kenapa Najib membisu hingga tidak ambil tindakan pada Sarawak Report dan Wall Street Journal yang melaporkan dakwaan keterlibatan Najib dalam skandal mega 1MDB?

Kenapa tiada tindakan terhadap Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa Malaysian Official 1 (MO1) dalam skandal besar negara 1MDB.

Di samping itu beliau juga perlu bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku dengan mengembalikan kembali harta dan aset yang keluar dan paling utama, kebertanggungjawaban perdana menteri apabila beliau perlu meletakkan jawatan dan menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada kerajaan sementara selepas pembubaran parlimen.

Ini untuk memastikan tiada salah guna kuasa semasa pilihan raya umum ke-14 dan memastikan PRU berjalan dengan adil.


DATUK MAHFUZ OMAR anggota Parlimen Pokok Sena.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen