malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mimbar JAIS: Buang tamak haloba, bersyukurlah
Diterbitkan:  Jan 26, 2018 12:48 PM
Dikemaskini: 6:39 AM
ADS

KHUTBAH l Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menyeru umat Islam supaya menjauhi daripada amalan memberi atau menerima rasuah.

Menurut mimbar Jumaat, hasil yang diperolehi daripada sumber rasuah - jika dibelanjakan untuk menyara keluarga seperti membeli makanan, minuman dan keperluan asas lain - akan mengundang kemudaratan serta azab yang pedih.

“Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan keji ini, ibadah dan doa kita menjadi sia-sia serta terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT,” menurut teks khutbah Jumaat JAIS itu.

Isu rasuah menjadi perhatian ramai di negara ini sejak sekian lama. Tanggapan itu turut diperkuatkan lagi dengan keputusan Indeks Persepsi Rasuah 2016 yang meletakkan negara pada kedudukan ke-55 daripada 176 buah negara di dunia.

Pada masa sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat begitu gigih membuat tangkapan suspek, sama ada di kalangan orang biasa atau berprofil tinggi.

Mengikut statistik SPRM pada 2017 saja agensi itu merekodkan 860 tangkapan bagi kesalahan rasuah.

Menurut mimbar lagi, amalan rasuah tidak wajar berlaku di sebuah negara Islam.

Pada masa sama mimbar mengingatkan perasaan tamak dan haloba kepada harta serta kemewahan dunia memang tidak ada titik penghujungnya.

“Hal ini amat membimbangkan kerana sebagai sebuah negara umat Islam, amalan rasuah sepatutnya tidak berleluasa dalam kalangan masyarakat.

“Ini kerana Rasulullah SAW sendiri melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah,” menurut teks mimbar itu lagi.

Justeru mimbar menyeru semua pihak menjauhi rasuah serta sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

“Marilah kita bersama-sama memerangi dan menjauhi rasuah. Buanglah sifat tamak dan haloba di dalam diri. Semaikan sifat syukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

“Sesungguhnya sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, pasti tidak akan dapat bersyukur dengan yang banyak. Yakinlah bahawa orang yang bersyukur, akan mendapat rezeki yang berkat dan berlipat ganda lagi daripada Yang Maha Kuasa,” menurut teks itu lagi.

Lihat Komen