Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan bagi mencegah sesuatu kegiatan sebelum ia merebak lebih serius, kata seorang wakil kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.
Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abu Zahar Isnin berkata, "kerajaan tidak mahu berlaku kecederaan dan pembunuhan sebelum mengambil tindakan."
"Majoriti rakyat yang memilih kemakmuran dan keamanan akan menyokong usaha kerajaan ini," katanya, ketika menjawab ucapan penangguhan, dan menambah ISA bertujuan "mencegah sebelum parah".
Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), dalam ucapan itu antara lain, menggesa kerajaan "mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya" nasihat hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Hishamuddin Mohd Yunus.
Dalam penghakimannya terhadap perbicaraan permohonan habeas corpus Mei lalu, hakim itu menggesa ISA dikaji semula oleh kerajaan.
Wakil rakyat wanita turut mengkritik penahanan dua aktivis pelajar mengikut akta itu awal bulan ini.
"Pembebasan (mereka) membuktikan tuduhan (kerajaan) bahawa mereka mengancam keselamatan negara adalah tidak benar," katanya.
Alasan kerajaan bahawa akta itu untuk keselamatan negara "tidak boleh diterima langsung," tambahnya.
Memetik laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Fong berkata bilangan tahanan selama dua tahun mengikut akta itu di kem Kamunting, Perak meningkat kepada 69 orang tahun ini, berbanding 40 orang tahun lalu.
"Peningkatan jumlah tahanan adalah satu petanda yang amat berbahaya," katanya.
Wakil DAP itu menyifatkan semua tahanan itu sebagai "mangsa pencabulan hak asasi manusia oleh kerajan Barisan Nasional."
Abu Zahar pula menggesa wakil-wakil rakyat menilai keperluan akta itu pada masa sekarang. "Pernahkah 41 tahun lalu (ketika akta itu digubal) kita berfikir muncul ancaman seperti sindiket (membawa masuk) pendatang tanpa izin, gerakan silat Al-Ma'unah dan (gerakan) reformasi yang tidak menentu?"
Sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Tengku Adnan Mansor pula menafikan kerajaan menghalang parti pembangkang selagi kegiatan mereka berlandaskan undang-undang.
"Pembangkang bebas berkempen setiap malam sehingga berjaya di Kelantan dan Terengganu," hujahnya, dan menambah, jika wujud sekatan, tidak ada wakil pembangkang di Dewan Rakyat.
Tengku Adnan menjawab hujah Mat Basir Rahmat (PAS-Parit) yang mengkritik langkah-langkah kerajaan yang mengenakan pelbagai sekatan terhadap Barisan Alternatif selepas pilihanraya umum 1999.
Sementara itu Kementerian Dalam Negeri, dalam sidang dewan pagi tadi, memberitahu ia menyediakan beberapa langkah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota polis menangani masalah berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Abu Zahar Isnin berkata, langkah-langkah itu termasuklah mendedahkan polis kepada undang-undang siber 1998 serta 2000, dan mengadakan kursus-kursus jenayah siber dua kali setahun di seluruh negara.
Selain itu, polis menubuhkan cawangan siasatan jenayah teknologi di Jabatan Jenayah Perdagangan dan makmal komputer forensik di bawah cawangan jenayah teknologi.
Polis juga menjalin kerjasama dengan agensi seperti Mimos dan Telekom, serta berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pasukan polis luar negara, tambah Abu Zahar ketika menjawab soalan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Batang Lupar).