malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenapa Felda ketepikan syarikat pemaju sendiri?
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 4:06 PM
Dikemaskini: 9:05 AM
ADS

Mengumumkan pemerolehan semula tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur nampaknya tidak memberhentikan kritikan terhadap agensi kerajaan itu.

Pembangkang mempersoalkan pula kenapa Felda menyerahkan tanah itu untuk dimajukan pihak lain sedangkan mereka mempunyai anak syarikat Encorp Berhad yang berpuluh kali ganda lebih besar dan berpengalaman.

Perkara itu dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melalui kenyataan media hari ini.

"Kenapa Felda mengubah pendirian dari melantik anak syarikatnya sendiri iaitu Encorp Berhad untuk membangunkan tanah-tanah tersebut, sebaliknya menyerahkan tanah itu kepada syarikat pemaju yang tidak dikenali iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB)?" soal Rafizi.

Menurut Rafizi berdasarkan Tawaran Umum Mandatori, beliau menganggarkan jumlah keseluruhan yang dibayar oleh Felda untuk menguasai 70.81 saham Encorp Berhad adalah RM316 juta.

"Saya ingin menyuburkan kembali ingatan Tan Sri Shahrir Samad bahawa salah satu sebab utama Felda membayar sedemikian harga (RM316 juta) untuk membeli Encorp Berhad ialah supaya anak syarikat Felda sendiri membangunkan tanah-tanah miliknya.

"Ini termasuklah tanah-tanah bernilai di Jalan Semarak yang potensinya dianggarkan mencecah RM1 bilion," katanya.

Bayar RM500 juta

Selain itu Rafizi mempersoalkan mengenai pulangan kewangan kepada Felda setelah tanah berkenaan diserahkan kepada SPSB.

Katanya berdasarkan kenyataan Shahrir, pemaju tersebut perlu membayar RM500 juta tunai atau 10 peratus daripada Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang mana lebih tinggi kepada Felda, seperti laporan Bernama pada 15 Januari lalu.

"Bagaimana SPSB hendak membayar RM500 juta kepada Felda sedangkan ia tidak mempunyai sebarang sumber kewangan lain dan tiada aktiviti lain?

"Apa kemampuan kewangan SPSB apabila ia terpaksa berhutang RM100 juta dari bank dengan memberi jaminan harta peribadi pengarah-pengarah?" soalnya.

Anggota Parlimen Pandan itu turut meminta penjelasan sama ada SPSB menukar hakmilik tanah berkenaan lalu dicagarkan kepada bank untuk mendapatkan RM100 juta pinjaman tersebut.

"Jika benar tanah-tanah Felda dicagarkan, bukankah lebih baik ia diberikan kepada Encorp kerana sekurang-kurangnya tanah-tanah itu kekal di dalam syarikat Felda dan bukannya diserahkan kepada pemaju swasta yang tidak ada rekod?" soalnya.

Minggu lalu, SPSB menawarkan untuk mengembalikan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur setelah didedahkan bahawa pemilikan tanah bernilai kira-kira RM270 juta itu telah dipindahkan kepada syarikat milik persendirian berkenaan dalam urus niaga meragukan pada tahun 2015.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Rafizi berkata tanah Felda di Jalan Semarak "hilang buat selama-lamanya" dan ramai yang tidak menyedari ia telah dijual kepada SPSB.

Beliau juga mendakwa kelulusan yang diberikan untuk pembinaan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lot-lot individu yang telah dibina kini dimiliki oleh pemaju dan pembeli.

Mengulas dakwaan itu semalam, Shahrir berkata "apabila tanah itu dibangunkan menjadi unit terbina, pemilikan unit terbina ini adalah dengan pembeli."

"Semua orang tahu, semua pemilik tanah yang membuat perjanjian dengan pemaju untuk membangunkan tanah mereka menjadi unit terbina, yang kemudiannya akan dijual kepada pembeli, pembeli akan memiliki unit terbina itu.

"Semua pemaju tahu. Jadi perdebatan mengenai apa?" soalnya.

Lihat Komen