malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Reformasi tetap subur lawan Mahathirisme Najib
ADS

ULASAN l Melucukan apabila saya ditemukan dengan dua artikel - satu ditulis ahli politik MCA, Ti Lian Ker, dan satu lagi ditulis Naib Ketua Pemuda Umno, Azwanbro (Khairul Azwan Harun) yang tidak semena-mena berbicara soal reformasi.

Kelihatan seperti merekalah pejuang paling tegar melawan Mahathirisme.

Reformasi adalah gerakan rakyat yang menuntut perubahan menyeluruh dilaksanakan ke atas institusi-institusi penting negara.

Latar gerakan Reformasi yang dimangkinkan dengan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 adalah perlawanan di antara kuasa rakyat menentang hegemoni pemerintah Umno dan BN ketika itu.

Reformasi bukan tentang individu. Reformasi adalah satu gerakan, gelombang dan tuntutan rakyat teramai. Ia menuntut agar prinsip keadilan, kebebasan dan kesaksamaan dijunjung.

Reformasi milik rakyat yang mahukan perubahan. Rakyat yang mahu mereformasikan sistem dan membentuk ketamadunan Malaysia yang lebih baik dan gemilang untuk generasi akan datang. Lawan Reformasi ialah Mahathirisme.

Pembela Mahathirsme

Mahathirisme pula juga bukan satu ‘puaka’ bersifat individu. Mahathirisme bertanggungjawab memanipulasi segala bentuk kuasa yang ada untuk meruntuhkan satu demi satu tiang seri demokrasi dan kebebasan yang ada di negara ini.

Mahathirisme tidak pernah tamat hatta selepas individu yang membidaninya bersara daripada menjadi seorang "diktator" sejak 15 tahun lalu.

Mahathirisme kini diteruskan oleh Datuk Seri Najib Razak yang membawanya ke satu tahap baru dan lebih parah. Faktanya, Mahathirisme tidak pernah meninggalkan Umno-BN, bahkan menjadi ideologi perjuangan mereka.

Ti dengan berani mengutarakan bahawa Reformasi kini menjadi "reformati" dan kemudian menyerang Anwar serta Lim Kit Siang sebagai penganut baru Mahathirisme.

Azwanbro pula tanpa sedikit rasa segan menyenaraikan semua "dosa-dosa" besar Tun Dr Mahathir Mohamad, padahal pada satu ketika dialah ‘penjilat’ nombor wahid mempertahankan "dosa-dosa" itu.

Tanpa disedari, merekalah kini yang kekal menjadi pembela Mahathirisme hari ini.

Ti dan Azwanbro perlu menepuk dada sendiri dan bertanya selera masing-masing.

Bukan hujah baru

Hari ini, yang mereka ingin pertahankan ialah Najib. Najib hari inilah Mahathirisme. Mereka pertahankan bukan hanya seorang individu, tetapi yang mereka pertahankan itu adalah faham dan amalan Mahathirisme yang telah mereka kritik dalam penulisan masing-masing.

Mereka terkabur pandangan dan pemikiran sehingga hujah yang dikemukakan hanya setipis kulit saja kerana mereka gagal melihat kepada ‘puaka’ lebih besar iaitu kebobrokan sistem dan kepincangan amalan regim Umno-BN yang mereka warisi.

Hingga kini mereka enggan mengubahnya.

Politik dan pertarungan merebut kuasa ini bukan hanya dilihat pada lambang mahu pun warna parti yang diwakili. Apa yang lebih penting ialah prinsip dan agenda yang ingin kita perjuangkan.

Ti dan Azwanbro tidak menawarkan hujah yang baru, tetapi sekadar mempertahankan "Shit" yang pernah digambarkan oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad.

Mereka berdua juga gagal dalam kapasiti mereka untuk benar-benar membawa agenda perubahan jika mereka merasakan Dr Mahathir dahulu telah melakukan begitu banyak kesalahan.

Kedua-dua mereka tidak cuba menguburkan Mahathirisme, sebaliknya bersuka ria leka dalam kubang Mahathirisme.

Deklarasi Permatang Pauh

Reformasi adalah perjuangan berasaskan prinsip. Dr Mahathir sebagai indvidu tidak mungkin diterima untuk duduk bersama dalam barisan perjuangan ini sekiranya beliau tidak bersetuju kepada tuntutan agenda Reformasi.

Itulah yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan beberapa tokoh lain apabila mereka menandatangani Deklarasi Rakyat.

Mereka dituntut untuk meninggalkan anutan lama dan berjuang bersama Reformasi untuk menguburkan ideologi bobrok itu.

Reformasi akan terus subur. Jika ia hanya soal perjuangan individu, lama dulu Reformasi mati. Tetapi itu tidak berlaku.

Perjuangan Reformasi didasarkan kepada apa yang dipanggil Deklarasi Permatang Pauh. Deklarasi itu menggariskan betapa perjuangan menuntut perubahan adalah usaha untuk melakukan perubahan sistem.

Mengembalikan keutuhan sistem demokrasi negara, menegakkan keadilan dan kesaksamaan serta mewujudkan kebijakan ekonomi yang manusiawi.

Reformasi tetap subur selagi obor perjuangan menuntut perubahan terus marak dalam sanubari setiap rakyat yang bercita-cita membangunkan Malaysia baru yang gemilang dan bermaruah untuk generasi akan datang.


DR AFIF BAHARDIN ialah Timbalan Ketua Pemuda PKR merangkap exco Pulau Pinang.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen