malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inkuiri tumpu dakwaan kaitan Amri dengan Syiah, Iran
ADS

INKUIRI SUHAKAM l Hari kedua inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Amri Che Mat bertumpu kepada dakwaan kaitan aktivis itu dengan Iran dan Syiah.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu barisan panel yang diketuai Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai bahawa tiga daripada lapan anak mereka menyambung pelajaran di Iran.

Pasangan itu mempunyai empat anak kandung dan empat anak angkat.

Norhayati berkata, seorang anak kandungnya kini berada di Iran, seorang berada di Perlis, dan dua lagi yang paling muda bersama-samanya dalam pendengaran hari ini.

Dua anak angkatnya yang paling tua - berusia antara 16 hingga 20 tahun - juga berada di Iran manakala dua lagi belajar di sebuah sekolah berasrama swasta di Thailand, katanya lagi.

"Mengapa Iran? Kerana Iran beri biasiswa dan saya rasa tidak salah untuk belajar di sana," katanya menjawab soalan yang ditanya panel berulang kali.

Ketika diminta untuk memberikan butiran lanjut tentang pendidikan anaknya, beliau berkata "tidak pasti" kecuali anaknya menyambung pelajaran dalam bidang bahasa Parsi dan universitinya bukan terletak di Tehran, ibu kota Iran.

Ketika ditanya tentang sekolah berasrama swasta di Thailand pula, beliau turut berkata tidak begitu pasti kecuali sekolah itu menawarkan dua sukatan pelajaran - pendidikan agama dan juga arus perdana.

"Anak angkat kami daripada keluarga miskin dan terpaksa berhenti sekolah. Jadi kami tidak tahu nak hantar mereka ke sekolah mana di sini," katanya ketika diminta menjelaskan sebab menghantar anak mereka ke Thailand.

"Biasanya suami saya akan menghantar mereka ke sana, atau mereka pergi sendiri," katanya selepas panel berkata agak pelik apabila seorang ibu tidak tahu tentang banyak perkara tentang sekolah anaknya.

"Anda tidak tahu atau anda tidak mahu beritahu kami?" soal Mah.

Mah juga bertanya Norhayati sama ada Amri pergi ke Iran baru-baru ini. Beliau berkata kali terakhir Amri ke sana kira-kira tiga atau empat tahun lalu.

Beliau juga berkata tidak ingat berapa kali pengasas Perlis Hope itu pergi ke Iran kerana ia "sudah lama".

Menjawab soalan Mah tentang sebab kunjungan Amri ke negara itu, Norhayati berkata ia atas urusan "perniagaan".

"Biasanya dia akan pergi selama seminggu. Dia beli kurma dan madu (untuk dijual)," katanya.

Kagum dengan Iran

Pada sesi tengah hari, saksi kedua inkuiri Abdul Jamil Ahmad berkata beliau pertama kali berjumpa dengan Amri pada 2003 di Iran.

"Saya mengikuti rombongan dan Amri pula berseorangan. Saya dapat tahu dia dari Perlis dan memandangkan saya dari Kedah, kami jadi kawan rapat selepas kembali ke Malaysia," kata bekas guru agama sekolah menengah berusia 56 tahun itu.

Sepanjang persahabatan, Jalil berkata mereka berdua sentiasa berjumpa di Jitra, Kedah - yang terletak di tengah-tengah antara tempat tinggal mereka berdua.

Ketika ditanya tentang kekaguman Amri terhadap iran, Jalil berkata Amri yang juga pernah menjadi guru mengagumi kekuatan politik Iran.

Perlis Mufti Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini menyifatkan Amri sebagai "aktivis Syiah" selepas namanya disebut Norhayati pada hari pertama inkuiri, semalam.

Asri juga memuat naik beberapa gambar rumah Amri di Facebooknya, yang menurutnya diambil ketika serbuan polis dan pegawai Pejabat Mufti Perlis pada 2015.

Pemerhati polis bagi inkuiri ini, R Munusamy, meminta Jalil mengesahkan ayat berbahasa Arab dalam salah satu gambar itu.

Jalil mengesahkan gambar itu diambil di ruang tamu rumah Amri dan ayat itu bermaksud "Husein dizalimi", merujuk Husein Ibn Ali iaitu cucu Nabi Muhammad dan imam ketiga dalam mazhab Syiah.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November, 2016.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menyatakan Syiah sebagai ajaran “sesat” dan tidak boleh diamalkan.

Suhakam sedang menyiasat sama ada Amri dan dua lagi individu hilang secara "dipaksa atau tanpa kerelaan", seperti yang ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

Dua lagi kes individu hilang yang sedang disiasat adalah paderi Joshua Hilmy dan isternya, Ruth Sitepu.

Inkuiri bagi kehilangan paderi, Raymond Koh, ditangguhkan selepas polis mendakwa seorang suspek minggu lalu.

Lihat Komen